Hiburan
Bakal Temukan Ari Lesmana & DJ Firza, Enau, Tiket Konsert Mangu Hampir Licin
30 Jul 2026

Status penjualan tiket bagi konsert eksklusif ‘Mangu di Kuala Lumpur’ yang dijadualkan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur (Zepp KL) pada 15 Ogos ini dilaporkan berada pada tahap kritikal dan hampir kehabisan ruang.

Pihak penganjur, Rockstage Entertainment hari ini mengeluarkan notis ‘panggilan terakhir’ (last call) berikutan sambutan luar biasa daripada pengikut dan pencinta seni muzik tanah air serta serantau sejak kaunter jualan digital dibuka.

Menurut kenyataan media Rockstage Entertainment, beberapa zon utama termasuk zon berdiri (rockzone) dan tempat duduk premium kini hampir kehabisan tiket sepenuhnya.

“Kami amat terharu dan berterima kasih atas sokongan tidak berbelah bahagi yang ditunjukkan oleh para peminat setakat ini. Keghairahan yang dizahirkan membuktikan bahawa penonton tempatan amat dahagakan persembahan yang berkualiti tinggi.

“Memandangkan tarikh acara kini berbaki kurang daripada sebulan, kami ingin menasihatkan orang ramai secara serius agar segera mengamankan slot mereka sebelum kaunter jualan ditutup secara rasmi,” menurut kenyataan itu.

Konsert ‘Mangu di Kuala Lumpur’ bakal menerajui figura seni vokal berkarisma, Ari Lesmana, yang akan membawakan barisan naskhah agungnya menerusi adunan segar hasil kolaborasi eksklusif bersama DJ Firza.

Bagi melengkapkan malam berkenaan, persembahan turut diperhangatkan dengan penampilan khas bakat meningkat naik, Enau, serta dikemudikan oleh MC Millvrd selaku pengawal rentak suasana.

Dalam pada itu, pihak pengurusan turut mengingatkan orang awam agar sentiasa berwaspada terhadap sindiket penipuan tiket atau ulat tiket.

Penganjur menegaskan bahawa sebarang transaksi pembelian yang sah hanya diiktiraf sekiranya dibuat menerusi portal rasmi pengurusan tiket yang dilantik di https://www.myticketempire.com/mangudikualalumpur)

Pihak Rockstage Entertainment tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kerugian yang timbul akibat pembelian tiket daripada pihak ketiga yang tidak sah.

Bisnes
Labrich Perkukuh Pasaran Kesihatan Holistik, Lancar Dua Produk Baharu Untuk Seisi Keluarga
06 Jul 2026

Labrich, jenama kesihatan dan kesejahteraan terkemuka, melakar satu lagi pencapaian penting dalam industri kesihatan holistik tanah air menerusi pelancaran dua rangkaian produk terbaharu mereka serta pengumuman rasmi personaliti terkenal, Che Puan Sarimah Ibrahim, sebagai Duta Jenama Labrich.

​Pelancaran itu disempurnakan dalam majlis eksklusif bertemakan “The Labrich Reveal: Nurturing Generations, Empowering Vitality” yang berlangsung di Hemisphere Luxury Hall, Menara Kuala Lumpur, baru_baru ini.

​Dua produk baharu yang diperkenalkan ialah Labrich TriBio Women Wellness dan Labrich TriBio Kids, sekali gus melengkapkan portfolio jenama itu dalam menyediakan penyelesaian kesihatan menyeluruh bagi setiap fasa kehidupan keluarga.

​Pengasas Labrich berkata, inspirasi penubuhan jenama itu lahir daripada pengalaman klinikal beliau sendiri dalam merawat pesakit yang berdepan peningkatan penyakit kronik berpunca daripada masalah metabolik.

​”Sebagai seorang doktor, saya melihat sendiri bagaimana banyak penyakit kronik yang semakin meningkat hari ini sebenarnya berpunca daripada satu masalah asas yang sering dipandang ringan iaitu berat badan berlebihan dan rintangan insulin (insulin resistance). Keadaan ini menjadi pencetus kepada diabetes, tekanan darah tinggi, penyakit jantung dan gangguan metabolik yang lain,” katanya.

​Beliau menambah, Labrich percaya kesihatan yang sebenar bermula dari usus. Sehubungan itu, formulasi pertama mereka, Labrich TriBio, dibangunkan berasaskan teknologi sinbiotik yang menggabungkan prebiotik, probiotik dan postbiotik untuk membina semula kesihatan dari dalam.

​Kejayaan formulasi tersebut kini diperluaskan menerusi Labrich TriBio Women Wellness—produk serbuk berperisa kranberi yang direka khas untuk wanita moden bagi membantu meningkatkan tenaga, menstabilkan emosi serta mengurangkan risiko jangkitan saluran kencing.

​Bagi memenuhi permintaan tinggi ibu bapa, Labrich TriBio Kids pula diperkenalkan dalam bentuk tablet kunyah berperisa strawberi.

Produk yang membawa slogan “Happy Tummies, Happy Kids” ini mengandungi 5 bilion CFU probiotik, Vitamin C, Zink dan DHA untuk menyokong perkembangan otak, menguatkan sistem imun dan meningkatkan selera makan kanak-kanak.

​Sementara itu, pelantikan Che Puan Sarimah Ibrahim sebagai wajah rasmi Labrich dilihat bertepatan dengan nilai yang dibawa jenama berkenaan.

Sebagai figura yang aktif, berkeyakinan tinggi dan mementingkan gaya hidup sihat, gandingan ini diharap dapat memperkukuh mesej bahawa kesejahteraan holistik mampu memberi impak positif kepada kualiti hidup masyarakat.

​Menerusi pelancaran rangkaian baharu berasaskan sains ini, Labrich terus komited dalam misinya untuk membantu setiap individu dan keluarga mencapai potensi kesihatan terbaik mereka, selaras dengan slogan utamanya, “Nurturing Life for Every Generation”.

Nasional
Kejohanan Bola Sepak Terbuka FELDA Bentuk Karakter, Disiplin Anak Muda
06 Jul 2026

Penganjuran Kejohanan Bola Sepak Terbuka FELDA bawah 10 tahun (B-10) bukan sekadar platform memburu kejuaraan, malah menjadi medan terbaik dalam membentuk karakter, disiplin, dan semangat kerja berpasukan dalam kalangan generasi baharu peneroka.

Kejohanan yang berlangsung di Dataran TODOM Tun Abdul Razak, Jengka sempena Hari Peneroka FELDA 2026 dan Sambutan Ulang Tahun Ke-70 FELDA itu berjaya menghimpunkan lebih lapan pasukan daripada pelbagai kelab, kampung, dan sekolah sekitar peringkat akar umbi.

Wakil Majlis Belia FELDA Malaysia (MBFM) Wilayah Kuantan, Ahmad Zahid bin Abdul Hamed berkata, biarpun sebahagian peserta masih di peringkat usia kanak-kanak, kesungguhan dan semangat juang yang dipamerkan sepanjang kejohanan amat membanggakan.

“Bagi saya, inilah sebenarnya intipati Kejohanan Bola Sepak Terbuka FELDA – bukan sekadar mengejar piala, tetapi mencungkil bakat dan membina karakter.

“Anak-anak ini pulang dengan pengalaman berharga, semangat kesukanan, dan yang paling penting, mereka belajar erti disiplin dan kerja berpasukan. Itu adalah kemenangan yang tidak ternilai,” katanya ketika ditemui media di sini.

Ahmad Zahid, yang juga bertindak sebagai jurulatih salah sebuah pasukan bertanding, menekankan kepentingan pembangunan bakat dari usia muda bagi memastikan masa depan sukan bola sepak negara terus subur.

Menurutnya, usia sekitar 10 tahun adalah fasa terbaik umpama ‘melentur buluh dari rebungnya’ untuk menerapkan mentaliti juara dan asas teknikal yang mantap sebelum mereka melangkah ke alam remaja yang lebih mencabar.

“Kita tidak tahu, daripada lapan pasukan ini mungkin lahir Harimau Malaya suatu hari nanti. Kerana itulah FELDA komited untuk terus menganjurkan program sebegini – bagi memastikan tiada bakat yang terlepas pandang,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pihak pengurusan FELDA atas sokongan berterusan terhadap program-program belia sepanjang tujuh dekad penubuhan institusi tersebut.

“Sokongan padu ini membuktikan FELDA bukan sahaja prihatin terhadap pembangunan ekonomi peneroka, malah turut komited melahirkan generasi belia yang sihat, berdisiplin, dan berbakat,” katanya.

Kejohanan anjuran MBFM yang menggunakan sistem perlawanan 15 minit setiap sesi itu bukan sahaja berjaya menyemarakkan sambutan ulang tahun ke-70 FELDA, malah menjadi medium penyatuan dalam memperkukuh ukhuwah komuniti peneroka dari pelbagai wilayah.

Hiburan
Hujan XX Himpun 17,000 ‘Raingers’ di Stadium Hoki Bukit Jalil
28 Jun 2026

Kumpulan rock indie lagenda tanah air, Hujan, melakar sejarah tersendiri apabila berjaya menghimpunkan seramai 17,000 peminat setia yang digelar ‘Raingers’ dalam konsert mega Hujan XX yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Konsert bersempena sambutan ulang tahun ke-20 penubuhan kumpulan itu bukan sahaja mencetuskan fenomena luar biasa, malah turut mendapat pengiktirafan rasmi daripada Malaysia Book of Records (MBOR).

Pengiktirafan tersebut diberikan bagi kategori ‘Kehadiran Penonton Teramai dalam Konsert Solo Kumpulan Indie’.

Majlis penyampaian sijil pengiktirafan MBOR disempurnakan wakil badan berkenaan iaitu Megat Faris Hussein Megat Muzaffar Shah, Edwin Yeoh dan Mohamad Nazrul Hafizi Ahmad Fauzi bersama Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang.

Sementara itu, Iman merakamkan penghargaan kepada Malaysia Book of Records atas pengiktirafan diberikan selain berterima kasih kepada seluruh Raingers yang menjadi sebahagian daripada detik bersejarah itu.

Menurutnya, sokongan luar biasa ditunjukkan peminat menjadi faktor utama kejayaan konsert berkenaan sehingga berjaya mencipta rekod baharu buat Hujan.

“Terima kasih kepada semua Raingers yang sentiasa memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Hujan.

“Jika diperhatikan, banyak simbol ‘XX’ ditampilkan sepanjang konsert ini sebagai simbolik perjalanan kami menuju tiga dekad dalam industri muzik dan mungkin akan meneruskan penganjuran konsert di Stadium Nasional Bukit Jalil pada masa akan datang,” katanya.

Konsert yang berlangsung selama lebih tiga jam itu menyaksikan Hujan mempertaruhkan lebih 40 buah lagu hits mereka termasuk Pagi Yang Gelap, Mencari Konklusi, dan Aku Skandal, yang dinyanyikan bersama-sama oleh lautan peminat yang membanjiri stadium.

Hujan dianggotai oleh AG Coco (gitar), Izzat (bass), dan Ambobzeela (dram).

Kumpulan yang ditubuhkan pada tahun 2005 itu kekal menjadi antara pelopor utama yang membawa muzik indie tempatan ke arus perdana, dan kejayaan malam tadi membuktikan pengaruh mereka masih utuh dan terus relevan merentas generasi.

Hiburan
Selepas 30 Tahun, Vokal Zamani Kekal Mencengkam Dalam ‘The Grand Slam Unplugged 2’
21 Jun 2026

Selepas tiga dekad melakar sejarah menerusi konsert akustik ikonik di Stadium Merdeka, kumpulan rock legenda tanah air, Slam, membuktikan jenama mereka kekal relevan menerusi konsert ‘The Grand Slam Unplugged 2’ di Mega Star Arena, Bukit Bintang, malam tadi.

​Konsert yang dihadiri lebih ribuan peminat tegar itu menyaksikan vokalisnya, Zamani, atau nama sebenarnya Zamani Ibrahim, 55, memberikan persembahan vokal yang cukup bertenaga dan mencengkam sanubari, sekali gus menepis kebimbangan segelintir pihak mengenai faktor kesihatannya sebelum ini.

​Iringan Orkestra Simfoni Kebangsaan ternyata memberi impak berbeza, mengubah susunan muzik asal lagu-lagu hits kumpulan itu kepada sebuah karya simfoni akustik yang lebih megah dan mewah.

​Antara segmen yang paling mencuri tumpuan dan menggegarkan arena adalah kemunculan khas tiga gitaris legenda tanah air yang diundang bagi menyemarakkan lagi malam bersejarah itu.

​Kehadiran Nan Alias yang menyalurkan ‘magis’ tersendiri menerusi lagu Sentuhan Listrikmu disusuli dengan aksi bertenaga gitaris kumpulan Search, Kidd, memukau penonton menerusi petikan solo penuh emosi dalam lagu Gadisku.

Kehangatan segmen berkenaan memuncak apabila gitaris kumpulan Barbarik, Jo Branko, tampil ke pentas mendendangkan lagu berhantu, Intan, Ku Kesepian, yang disambut dengan sorakan gemuruh para peminat.

​Terdahulu, tirai persembahan dibuka dengan untaian lagu popular seperti Kembali Terjalin, Nur Kasih dan Tak Mungkin Berpaling yang diberi nafas baharu, mengundang sorakan penonton yang memenuhi ruang arena.

Peminat juga dihidangkan dengan untaian lagu yang jarang dimainkan seperti Syair Si Pari-Pari, Entah Mengapa dan Kita Terpaksa Bermusuhan.

​Suasana malam konsert bertukar menjadi lautan emosi apabila sebagai acara kemuncak tirai berlabuh, kesemua gitaris undangan Kidd, Nan Alias, dan Jo Branko kembali naik ke pentas untuk beraksi bersama-sama Slam dan Orkestra Simfoni Kebangsaan.

​Gandingan menyeluruh itu mengiringi Zamani mendendangkan lagu ciptaan Saari Amri, Gerimis Mengundang, sekali gus menyaksikan jalinan melodi gitar akustik gergasi yang menutup tirai konsert berdurasi dua jam itu dengan penuh nostalgia dan gilang-gemilang.

​Turut hadir menyaksikan konsert bersejarah itu ialah barisan penggiat seni tempatan, rakan media, serta peminat tegar dari Singapura, Brunei, dan Indonesia.

FOTO: PAPADIN.

Hiburan
Lovebites pilih Kuala Lumpur Oktober Ini, Jelajah ‘Outstanding Tour’
17 Jun 2026

Kumpulan heavy metal wanita sensasi dari Tokyo, Jepun, Lovebites, memilih Kuala Lumpur sebagai antara destinasi utama siri jelajah dunia mereka, Lovebites: Outstanding Tour Live In Kuala Lumpur, yang dijadualkan berlangsung pada 4 Oktober depan.

Konsert sulung kumpulan itu di Malaysia akan diadakan di pentas berprestij Zepp Kuala Lumpur, sekali gus menamatkan penantian hampir sedekad para peminat genre muzik berkenaan di negara ini.

Pengarah Rockstage Entertainment selaku penganjur, Talib Othman berkata, keputusan membawa kumpulan virtuoso itu ke ibu negara dibuat selepas mengambil kira permintaan yang sangat tinggi daripada komuniti peminat muzik metal tempatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Mereka bukan sekadar sebuah kumpulan metal wanita, tetapi merupakan fenomena global yang memiliki peminat setia di seluruh dunia.

“Kami percaya konsert ini akan menjadi antara acara metal paling istimewa tahun ini kerana ia menandakan penampilan pertama mereka di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Talib, pihak penganjur kini sedang merancang sebuah produksi berskala penuh yang merangkumi aspek sistem bunyi dan pencahayaan terbaik bagi memastikan penonton mendapat pengalaman audio serta visual setaraf dengan persembahan mereka di Jepun, Eropah, dan Amerika Syarikat.

Beliau menambah, pemilihan Kuala Lumpur oleh pengurusan Lovebites turut membuktikan bahawa Malaysia kini semakin diiktiraf oleh penganjur antarabangsa sebagai destinasi penting bagi siri jelajah artis rock dan metal dunia.

Ditubuhkan pada 2016, Lovebites yang dianggotai oleh Asami (vokal), Midori (gitar), Miyako (gitar dan keyboard), Fami (bass), serta Haruna (dram) terkenal dengan kemahiran teknikal luar biasa menerusi gabungan muzik power metal, speed metal, dan melodic metal.

Sepanjang karier mereka, kumpulan itu telah menghasilkan beberapa album yang mendapat pujian pengkritik antarabangsa seperti Awakening From Abyss, Electric Pentagram, Judgement Day, dan Lovebites EP II.

Malah, mereka juga pernah merangkul anugerah “Best New Band” di Metal Hammer Golden Gods Awards di United Kingdom, selain pernah menggegarkan festival metal terbesar dunia antaranya Wacken Open Air, Download Festival, dan Graspop Metal Meeting.

Pada konsert itu nanti, peminat boleh menjangkakan deretan lagu popular mereka seperti Holy War, When Destinies Align, The Hammer of Wrath, Shadowmaker, dan Judgement Day.

Tiket bagi menyaksikan konsert berkenaan boleh didapati menerusi platform dalam talian MyTicket Empire.

Nasional
Kerjasama Strategik DPDDM-Wilmington Metropolitan University Pacu Pembangunan Modal Insan Global
14 Jun 2026

Dewan Perniagaan Datuk Dato Malaysia (DPDDM) dan Wilmington Metropolitan University (WMU), California, secara rasmi memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh hubungan strategik dalam memacu pembangunan modal insan, pendidikan profesional, dan keusahawanan di peringkat global.

​Majlis menandatangani MoU itu berlangsung dengan penuh gemilang sempena Majlis Konvokesyen Wilmington Metropolitan University di Golden Palace of Horses, di sini, baru-baru ini.

​Pemeteraian dokumen bersejarah itu disempurnakan oleh Yang Amat Mulia (Y.A.M.) Tunku Azwil Tunku Abdul Razak, Canselor Wilmington Metropolitan University merangkap Penasihat Utama Diraja DPDDM, bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) WMU, Profesor Dr. Lee.

​Presiden DPDDM, Dato’ (Dr.) Nor Hasnal Hashmi berkata, kerjasama strategik ini diharap dapat membuka lembaran baharu dalam memberi manfaat meluas kepada institusi pendidikan tinggi serta komuniti perniagaan tempatan dan antarabangsa.

​”Melalui inisiatif ini, fokus utama akan diberikan kepada pembangunan modal insan, penyelidikan, keusahawanan, serta pembinaan jaringan kerjasama yang kukuh demi memartabatkan lagi ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

​Beliau turut menyatakan rasa bangga apabila beberapa tokoh usahawan dan ahli kehormat DPDDM terpilih untuk menerima pengiktirafan akademik tertinggi daripada universiti berkenaan atas sumbangan cemerlang mereka kepada pembangunan ekonomi negara.

​Antara penerima Penganugerahan Doktor Kehormat (Honorary Doctorate) dan Industrial Doctorate termasuk Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) merangkap Penasihat Undang-Undang DPDDM, (Dr.) Ahmad Nazib Johari (Undang-Undang dan Sains Politik), serta Pengerusi DPDDM, Dato’ (Dr.) Aisy Wafiq Leong Abdullah (Perniagaan dan Keusahawanan).

​Turut menerima pengiktirafan ialah Dato’ (Dr.) Nor Hasnal Hashmi sendiri, YDP DPDDM Sabah Hajah (Dr.) Jamilah, (Dr.) Kartina Kamaruzaman, (Dr.) Awangku Azrie Awang Dzulkarnain, dan Eksekutif Korporat Perhubungan Awam Dewan Pendidikan Malaysia, (Dr.) Dato I.S Muhamad Faizal Abd Rahman.

​Sementara itu, Provost Wilmington Metropolitan University, Profesor Dr. Richard McChullag berkata, kolaborasi ini direka untuk membuka peluang lebih luas menerusi program akademik, persidangan antarabangsa, kolaborasi penyelidikan, serta pengiktirafan kepimpinan.

​”Pihak universiti amat menghargai peranan penting yang dimainkan oleh DPDDM dalam memperkasa tokoh kepimpinan dan komuniti perniagaan di Malaysia, sekali gus menyumbang ke arah pembangunan hubungan antarabangsa,” katanya.

​Menerusi MoU ini, masyarakat, golongan profesional dan usahawan di Malaysia kini berpeluang mengikuti program pendidikan profesional yang ditawarkan oleh WMU merangkumi peringkat Diploma, Ijazah Sarjana Muda (Degree), Sarjana (Master), dan Doktor Falsafah (Doctorate).

​Program-program ini menawarkan laluan fleksibel melalui pendekatan pembelajaran sepanjang hayat dan pengiktirafan pengalaman industri, sekali gus bertindak sebagai pemangkin utama kepada pembangunan modal insan berkemahiran tinggi demi meningkatkan daya saing Malaysia di pentas dunia.

Hiburan
Penampilan Sulung Padi Reborn Bersama Dewa 19 di Malaysia
07 Jun 2026

Industri muzik tanah air menyaksikan satu lagi detik bersejarah apabila dua gergasi rock ikonik Indonesia, Padi Reborn dan Dewa 19, berkongsi pentas buat kali pertama di Malaysia dalam satu acara mega yang menggegarkan Unifi Arena, Bukit Jalil, malam tadi.

Konsert yang diberi nama ‘Konsert Dewa 19 – Cintaku Tertinggal di Malaysia’ anjuran Icon Entertainment itu bukan sahaja mengubati kerinduan ribuan peminat setia atau ‘Baladewa’ dan ‘Sobat Padi’, malah berjaya memahat lembaran baharu dalam persaudaraan muzik rentas sempadan antara Malaysia dan Indonesia yang menjangkau lebih tiga dekad.

Tampil sebagai pembuka tirai, Padi Reborn yang diterajui oleh Fadly (vokal), Piyu (gitar), Ari (gitar), Rindra (bass), dan Yoyo (dram) mengotot tenaga stadium dengan seleksi lapan buah lagu hit terbaik mereka termasuk ‘Sang Penghibur’, ‘Menanti Sebuah Jawaban’ dan ‘Sahabat Selamanya’.

Penampilan sulung gandingan ini di bumi Malaysia ternyata memberikan impak nostalgia yang luar biasa kepada penonton yang memenuhi segenap ruang arena sejak awal petang.

“Kami amat teruja dan berbangga kerana dapat berkongsi pentas bersama band lagenda, Dewa 19 di hadapan peminat di Malaysia,” kata Fadly.

Tirai utama malam itu bagaimanapun terus memuncak apabila maestro tersohor Ahmad Dhani bersama barisan keanggotaan lengkap Dewa 19 mengambil alih pentas.

Konsert berdurasi hampir tiga jam itu mempamerkan kehebatan transisi vokal dinamik menerusi tiga generasi vokalis utama mereka iaitu Marcello Tahitoe (Ello), Virzha, dan figura legenda, Ari Lasso.

Kemunculan Ari Lasso mendendangkan lagu-lagu berhantu seperti Kangen, Cinta ‘Kan Membawamu Kembali, dan Kirana nyata membuai emosi penonton, selain ketukan dram padu daripada Al Ghazali yang mengantikan Tyo Nugros.

Konsert diakhiri dengan lagu keramat Separuh Nafas yang disampaikan secara bersama oleh ketiga-tiga vokalis, sekali gus mematri memori indah yang membuktikan bahasa muzik rock Nusantara tidak pernah pudar merentas zaman.

Hiburan
Konsert HUJAN XX: Tiket Ditambah 2,000 Lagi Susulan Permintaan Luar Biasa
02 Jun 2026

Penganjur ICON Entertainment mengumumkan penambahan sebanyak 2,000 tiket bagi kategori Standing Arena untuk konsert HUJAN XX, susulan sambutan luar biasa dan permintaan tinggi daripada peminat yang gagal mendapatkan tiket pada jualan terdahulu.

Menurut kenyataan yang dimuat naik menerusi media sosial rasmi ICON Entertainment hari ini, tiket tambahan yang dikenali sebagai kategori “Sang Enemy” itu akan mula dijual pada 3 Jun (Rabu) bermula jam 2 petang menerusi platform Ticket2U.

Pihak penganjur berkata keputusan menambah kuota tiket berkenaan dibuat selepas mengambil kira pelbagai maklum balas daripada peminat setia kumpulan Hujan, yang dikenali sebagai Rangers, yang tidak berjaya mendapatkan tiket ketika jualan pertama berlangsung sebelum ini.

“Disebabkan sambutan luar biasa dan permintaan anggota Hujan buat Rangers, kami menambah 2,000 tiket lagi untuk jualan. Kami mendengar keluhan peminat yang gagal mendapatkan tiket sebelum ini,” menurut kenyataan tersebut.

Konsert HUJAN XX bakal berlangsung pada 27 Jun ini di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, sempena sambutan ulang tahun ke-20 perjalanan seni kumpulan rock popular tanah air itu.

Acara yang dijadualkan bermula pada 8.30 malam itu dijangka menghimpunkan ribuan peminat dari seluruh negara untuk meraikan dua dekad perjalanan muzik Hujan yang terkenal dengan deretan lagu hit seperti Pagi Yang Gelap, Bila Aku Sudah Tiada dan Rahsia Tuhan.

Penganjur turut mengucapkan penghargaan kepada peminat atas sokongan padu yang diberikan dan mengajak mereka untuk bersama-sama memeriahkan konsert bersejarah tersebut.

Terdahulu, tiket bagi konsert berkenaan dilaporkan telah habis terjual (sold out) sepenuhnya dalam tempoh singkat sebaik sahaja jualan dalam talian dibuka sebelum ini.

Tiket boleh dibeli di laman Ticket2u https://www.ticket2u.com.my/event/49418/hujan-xx-hujan20tahun

Hiburan
Hijjaz, Inteam Dan The Rayhan Sah Sertai Konsert Charity Hijrah 2026
16 Apr 2026

Barisan gergasi industri nasyid tanah air, Hijjaz, Inteam dan The Rayhan disahkan bakal bersatu di atas satu pentas bagi menjayakan Konsert Charity Hijrah 2026 yang dijadualkan berlangsung pada 4 Julai depan.

​Konsert anjuran bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Jemaah (SAMTTAJ) dan Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) Putrajaya itu bertujuan mengumpul dana bagi pembangunan prasarana sekolah.

​Pengerusi DPIM Putrajaya, Datuk Seri Muhammad Khanafi Husin berkata pemilihan barisan artis senior atau “5 Series” itu merupakan strategi bagi menggamit semula memori peminat tegar nasyid, selain menjadi tarikan buat generasi muda.

​”Pemilihan ini adalah untuk menarik golongan yang sudah biasa dengan nama-nama pelopor industri nasyid seperti Hijjaz dan The Rayhan, manakala Inteam mewakili generasi yang dapat merapatkan jurang dengan golongan muda,” katanya pada sidang media di Barbarossa Kahve, di sini hari ini.

​Menurut Muhammad Khanafi, konsert yang akan diadakan di Dewan Ibnu Al-Jazari, SAMTTAJ itu menyasarkan kutipan penuh sebanyak RM150,000 yang akan disalurkan sepenuhnya untuk projek pembangunan sekolah, termasuk pembinaan dataran berbumbung bagi kegunaan 800 pelajar.

​Selain persembahan nasyid, acara berkenaan turut menampilkan kelainan dengan pengisian elemen motivasi dan dakwah melalui penampilan khas Fynn Jamal, Faizal Ismail (FBI) serta Ustaz Nadzrie Abbas.

​Sementara itu, Yang Dipertua PIBG SAMTTAJ, Mohamad Mahathir Mohamed Hanan berkata penganjuran konsert di perkarangan sekolah itu telah mendapat kelulusan daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Petaling.

​Beliau berkata konsert itu juga unik kerana bakal diselang-selikan dengan penyampaian 10 anugerah perniagaan bagi menghargai peranan usahawan dalam menyokong industri seni Islamik dan pembangunan komuniti.

​Tiket bagi konsert eksklusif yang dihadkan kepada 800 penonton itu dijual pada harga RM100 dan boleh didapati melalui laman sesawang rasmi pibgsamttaj.bcl.my.