Ikuti Kami:

13,000 Jiwa Berjaya Disembuhkan di Pentas Jiwa Kacau 2025

13,000 Jiwa Berjaya Disembuhkan di Pentas Jiwa Kacau 2025

Dalam dunia yang penuh tekanan dan kekalutan, muzik sekali lagi membuktikan kuasanya sebagai penyembuh jiwa.

Konsert Jiwa Kacau 2025: The Final Game yang berlangsung di Stadium Nasional Hoki Bukit Jalil malam tadi menjadi bukti apabila lebih 13,000 penonton larut dalam gelombang emosi, nostalgia dan semangat baharu yang dipersembahkan oleh barisan legenda dan bintang baru dari Malaysia dan Indonesia.

Selama hampir tiga jam, pentas Jiwa Kacau bukan sekadar medan hiburan tetapi ruang penyatuan emosi, suara dan kenangan.

Dari lagu cinta yang meruntun hati hingga ke laungan semangat anak muda, setiap bait dan rentak seolah-olah menyentuh luka dalam hati penonton dan perlahan-lahan menyembuhkannya.

Kemunculan semula Spider menjadi antara detik paling menyentuh malam itu. Dengan lagu-lagu seperti Ngam Ho, Cinta Dewa Dewi, Telinga Ke Tulang dan Nazraku, aura mereka membangkitkan semangat peminat lama yang pernah membesar dengan muzik mereka.

Bunkface tidak kurang hebatnya dengan persembahan bertenaga menerusi Malam Ini Kita Punya, Darah Muda dan Revolusi, meniupkan roh kebebasan dan semangat dalam kalangan anak muda yang ingin pecahkan tembok tekanan.

Kerispatih dari Indonesia menyentuh hati ramai dengan balada seperti Tapi Bukan Aku, Bila Rasaku Ini Rasamu dan Demi Cinta. Setiap lirik dilontarkan penuh jiwa dan air mata sesetengah penonton mengalir tanpa sedar, bukti betapa muzik mampu menyentuh titik terdalam emosi manusia.

Hujan memukau dengan lagu-lagu penuh emosi dan semangat seperti Di Kala Bulan Bermain Biola, Rahsia Tuhan, Kotak Hati, Bila Aku Sudah Tiada serta Aku Skandal yang menegaskan status mereka sebagai antara kugiran moden paling berpengaruh.

Dari Indonesia, The Lantis memulakan persembahan mereka dengan Intro + Lampu Merah, diikuti Ambang Rindu, Santai dan Bunga Maaf, memberikan warna baharu dalam landskap muzik seberang yang kini semakin dekat di hati peminat tempatan.

Kejutan terbesar malam itu hadir daripada Wali yang menghiburkan dengan persembahan penuh variasi dan mesej, termasuk lagu seperti Cari Berkah, Si Udin Bertanya, Nenekku Pahlawanku, Tobat Maksiat, Yank, Aku Bukan Bang Toyib dan Cari Jodoh.

Aksi mereka bukan sahaja menceriakan penonton malah menjadi kemuncak hiburan yang merentasi generasi.

Dengan gabungan suara dari dua negara, lebih 40 lagu sepanjang malam dan lautan emosi yang dirasai bersama, Konsert Jiwa Kacau 2025 bukan sekadar peristiwa muzik.

Ia adalah terapi kolektif buat 13,000 jiwa yang hadir dan mungkin lebih lagi yang menonton dari jauh.

Komen
Loading...