36 Warga Bangladesh Ditahan, Disyaki Bawa Fahaman IS ke Malaysia – Saifuddin Nasution
- oleh Gerbang Daily
- 1 minggu lalu

Seramai 36 warga Bangladesh telah ditahan dalam satu operasi besar-besaran oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bermula 24 April lalu selepas disyaki membawa masuk fahaman radikal berideologi Islamic State (IS) ke Malaysia.
Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, penahanan itu adalah hasil risikan berterusan Cawangan Khas PDRM yang berjaya membongkar jaringan militan asing aktif di beberapa lokasi di Selangor dan Johor.
“Ini adalah isyarat jelas bahawa Malaysia tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana elemen militan atau ekstremis yang cuba menjadikan negara ini sebagai tempat perlindungan atau pangkalan operasi mereka,” tegas beliau dalam kenyataan hari ini.
Daripada jumlah yang ditahan, lima individu telah didakwa di bawah Bab VIA Kanun Keseksaan di Mahkamah Seksyen Shah Alam dan Johor Bahru, manakala 15 lagi dikenakan perintah pengusiran.
Siasatan lanjut masih dijalankan ke atas 16 individu yang lain bagi menentukan tahap penglibatan mereka.
Risikan mendapati kumpulan tersebut bukan sahaja menyebarkan ideologi pelampau dalam kalangan komuniti mereka, malah turut aktif mengumpul dana bagi membiayai aktiviti keganasan serta dipercayai terlibat dalam usaha menjatuhkan kerajaan sah di negara asal mereka.
Saifuddin berkata, tindakan tegas ini mencerminkan komitmen Kerajaan Madani dalam memastikan keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa dilindungi.
“KDN akan terus memperkukuh keupayaan risikan, mempertingkat tindakan penguatkuasaan dan mengukuhkan kerjasama dengan agensi keselamatan dalam serta luar negara,” ujarnya.
Beliau turut memberi amaran bahawa sebarang cubaan menjadikan Malaysia sebagai pangkalan atau transit untuk operasi ekstremis asing akan ditangani dengan langkah tegas, pantas dan berkesan.