4,000 Pelajar SPM Bersemangat di Sabah Bersama Syed Saddiq, Bella Astillah & MK K-Clique
- oleh Gerbang Daily
- 19 Aug 2025 12:04 am
Suasana ITCC Penampang pada 16 Ogos lalu gamat dengan lautan semangat apabila lebih 4,000 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) membanjiri program PTTI Jelajah Skor A+ SPM Sabah yang dianjurkan oleh pusat tuisyen terkenal PTTI.
Program ini bukan sekadar sesi ulang kaji biasa, tetapi menjadi pentas motivasi terbesar di Sabah apabila menampilkan barisan ikon inspirasi negara.

Antara yang hadir ialah Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, figura usahawan Asyraf Khalid, selebriti popular Bella Astillah, dan bintang rap terkenal MK K-Clique.
Kehadiran mereka bukan sahaja mencuri tumpuan, tetapi menyuntik semangat luar biasa buat ribuan pelajar yang bakal menduduki peperiksaan penting tahun ini.
“Hari ini saya lihat wajah-wajah bersemangat yang mahu berjaya. Ingat, kejayaan bukan milik siapa yang paling bijak, tetapi siapa yang konsisten berusaha. Anda semua adalah harapan negara,” kata Syed Saddiq ketika memberikan ucapan penuh motivasi.
Bella Astillah yang merupakan anak jati Sabah pula tidak dapat menyembunyikan rasa bangga apabila berpeluang bersama generasi muda negeri kelahirannya.
“Sebagai orang Sabah, saya tahu betapa pentingnya pendidikan. Jadikan usaha hari ini hadiah untuk diri sendiri dan keluarga,” ujar Bella.

Menariknya, program padat ilmu ini turut diserikan dengan persembahan istimewa MK K-Clique yang menjadi idola ramai anak muda, menjadikan suasana semakin meriah dan berinspirasi.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PTTI, Siti Farhana Abu Osman atau Cikgu Fana, penganjuran ini adalah sebahagian daripada komitmen PTTI untuk melahirkan generasi pelajar yang bukan sahaja cemerlang akademik, malah berdaya saing.
“Kehadiran ribuan pelajar hari ini membuktikan mereka dahagakan ilmu dan motivasi. Dengan bimbingan yang betul, saya percaya ramai akan melakar kecemerlangan,” katanya.
Sebagai kesinambungan usaha, PTTI turut mengumumkan Seminar Shortcut Last Minute SPM yang akan berlangsung secara dalam talian pada 27 hingga 30 Ogos ini secara percuma bagi semua calon SPM di Malaysia. Pendaftaran boleh dibuat di laman rasmi www.ptti.my.
Dengan sokongan tokoh inspirasi, tenaga pengajar berpengalaman, dan platform pendidikan teknologi yang kukuh, PTTI terus mengukuhkan peranannya sebagai peneraju pembelajaran berasaskan teknologi untuk generasi muda negara.




