
Dalam era global yang semakin mencabar dengan kemunculan jenayah rentas sempadan, ketidaktentuan geopolitik dan isu-isu kemanusiaan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) di bawah pimpinan Dato’ Seri Saifuddin Nasution (DSSN) muncul sebagai institusi yang bukan sekadar mempertahankan keselamatan negara malah memimpin reformasi ke arah sistem yang lebih cekap, telus dan berperikemanusiaan.
Lima teras utama digariskan sebagai tunjang transformasi ini:
1. Pendigitalan Keselamatan: AI Sebagai Pemangkin Integriti
KDN mengambil langkah berani dengan mengaplikasikan kecerdasan buatan (AI) dalam kawalan sempadan. Bermula 1 Januari lalu, teknologi pengecaman wajah telah diguna pakai di Terminal 1 dan 2 KLIA serta Kompleks Sultan Abu Bakar, Johor.
“KDN dan seluruh agensinya akan embrace AI sebagai solusi, dan hasil akhirnya mestilah sistem penyampaian yang lebih cekap serta bebas isu integriti,” tegas DSSN.
Langkah ini bukan hanya memodenkan sistem imigresen tetapi juga memperkukuh integriti perkhidmatan awam dan menjadikan Malaysia antara perintis dalam ASEAN.
2. Keselamatan Serantau: Solidariti Bukan Pilihan, Tetapi Keperluan
Melalui Asia Internal Security and Stability Conference (AISSE25), DSSN menekankan peri pentingnya kerjasama serantau untuk menangani jenayah rentas sempadan seperti pemerdagangan manusia, dadah, jenayah maritim dan siber.
“Keamanan hanya mampu dicapai melalui kesepaduan antara negara-negara jiran,” ujar beliau, menyeru negara Asia bekerjasama sebagai satu blok keselamatan yang kuat.
KDN kini memainkan peranan sebagai pemangkin diplomasi keselamatan serantau dan bukan lagi sebagai pemerhati.
3. Keadilan Wilayah: Sabah sebagai Keutamaan Strategik
Isu keselamatan dan pembangunan di Sabah tidak lagi dipandang sebagai permasalahan pinggiran. DSSN membuktikan komitmennya dengan memperuntukkan RM50 juta untuk pembinaan kuarters anggota KDN dan RM17 juta bagi menaik taraf PUSPEN Papar.
Inisiatif ini mencerminkan prinsip keadilan wilayah bahawa keselamatan dan kemudahan asas tidak harus tertumpu kepada Semenanjung semata-mata.
4. Perlindungan Kemanusiaan: Kanak-Kanak Imigresen Dilayan dengan Empati
Langkah penubuhan Baitul Mahabbah, pusat khas bagi kanak-kanak warga asing yang sebelum ini ditahan di depot imigresen, adalah manifestasi jelas prinsip kemanusiaan dalam dasar imigresen negara.
“Kita bertindak bukan hanya atas tekanan antarabangsa tetapi atas dasar rasa tanggungjawab terhadap kemanusiaan,” kata DSSN, yang turut membangkitkan isu ini dalam forum Bangsa-Bangsa Bersatu.
Malaysia kini tampil sebagai negara yang bukan hanya menjaga sempadan tetapi juga menjaga maruah dan nilai kemanusiaan.
5. Pemerkasaan Institusi: Kebajikan Penjawat Keselamatan Diutamakan
DSSN turut memberi penekanan kepada penambahbaikan prasarana dan kebajikan anggota agensi seperti PDRM, RELA dan JPN. Ini bukan sahaja memastikan kecekapan operasi malah mengekalkan moral dan integriti penjawat awam.
Transformasi institusi keselamatan tidak boleh berlaku tanpa menambah baik kehidupan mereka yang mempertahankan negara di barisan hadapan.
Melalui lima teras ini iaitu digitalisasi pintar, solidariti serantau, keadilan wilayah, perlindungan kemanusiaan dan pemerkasaan institusi, KDN di bawah DSSN membina satu kerangka baharu. Keselamatan tidak lagi dipisahkan daripada nilai integriti dan empati.
“KDN hari ini bukan sekadar menjaga sempadan tetapi menjaga maruah rakyat dan martabat negara,” tegas DSSN.
Reformasi ini bukan sahaja menjadikan Malaysia lebih selamat tetapi juga lebih adil, cekap dan berperikemanusiaan selari dengan aspirasi negara maju.