8 November Jadi Medan Ledakan XPDC Metalkestra di Kuala Lumpur
- oleh Gerbang Daily
- 31 Jul 2025 12:38 am
Peminat muzik rock tanah air, bersedialah! Tarikh 8 November 2025 bakal menjadi medan ledakan penuh kuasa apabila kumpulan legenda, XPDC, kembali menggegarkan pentas dengan konsert berskala besar berjudul XPDC Metalkestra yang akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur.
Konsert yang dianjurkan oleh Republic Mokhmah Records ini menjadi penanda aras baharu buat XPDC apabila buat julung kalinya mereka menggabungkan muzik heavy metal dengan unsur orkestra, menyuntik dimensi segar dalam persembahan yang bakal dikenang sepanjang zaman.
XPDC yang dianggotai oleh barisan mantap terdiri daripada Izo, Eddie, Arif, Lola dan Mamu akan tampil dengan persembahan penuh karisma dan tenaga, membawa semangat sama seperti ketika Konsert Raksasa XPDC Brutal di Stadium Negara dan Shah Alam pada 1998.

Menurut wakil Republic Mokhmah Records, Encik Musa, konsert ini bukan sekadar pertemuan nostalgia, sebaliknya satu bentuk penghormatan kepada karya-karya XPDC yang terus relevan biarpun sudah lebih empat dekad dalam arena muzik tanah air.
“Seperti mana peminat yang teruja, kami selaku penganjur juga bersemangat melihat XPDC beraksi membawakan lagu-lagu hebat dari album pertama hingga terkini. Tema Metalkestra ini adalah simbol penghargaan terhadap legasi mereka,” katanya.
Musa yang juga peminat tegar XPDC sejak zaman persekolahan menyifatkan penganjuran konsert ini sebagai peluang merealisasikan impian lama, selain mahu membawa gelombang baru kepada muzik tempatan.
“Dengan lambakan muzik rock yang ada, karya XPDC tetap kekal relevan. Kami berharap bukan sahaja peminat lama, malah generasi baharu turut hadir merasai pengalaman sebenar menyaksikan XPDC di atas pentas,” tambahnya.

XPDC pula menyifatkan konsert ini sebagai satu hadiah buat peminat yang tidak pernah berhenti menyokong sejak awal pembabitan mereka.
Gabungan elemen orkestra bukan sahaja menyegarkan persembahan, malah menambah kemewahan kepada lagu-lagu yang akan dipersembahkan secara langsung.
“XPDC Metalkestra juga adalah apresiasi kami terhadap semangat peminat yang terus bersama dalam jatuh bangun selama lebih 40 tahun. Konsert ini bukan noktah, sebaliknya bukti XPDC tidak akan berhenti di sini,” ujar Izo mewakili kumpulan.
Antara lagu popular yang dijangka mengisi setlist termasuk Apa Nak Di Kata, Nafisa, Kita Peng Yu, Hijau Bumi Tuhan, Hidup Bersama dan CT Cinta Kenangan Silam, hasil ciptaan mendiang pengasas XPDC, Allahyarham J.S Kevin.
Konsert ini dijangka membakar semangat nostalgia para peminat yang selama ini hanya mendengar karya-karya tersebut di corong radio.
Tiket mula dijual pada 30 Julai, jam 5 petang melalui iLassoTickets.com. Beberapa kategori ditawarkan dengan harga bermula RM138 hingga RM5,008. Kategori paling eksklusif, Royal Box, menawarkan pakej untuk 10 orang termasuk sesi Meet & Greet bersama XPDC dan goodie bag eksklusif.
Lebih menarik, dua peminat dengan pakaian samurai terbaik akan memenangi hadiah istimewa. Tiga unit gitar Jackson Izo Signature turut disediakan sebagai hadiah cabutan bertuah kepada peminat bertuah yang hadir.




