Ikuti Kami:

85% Rakyat Termasuk B40, M40 dan Penjawat Awam Kekal Nikmati Subsidi RON95 – PM Anwar Ibrahim

85% Rakyat Termasuk B40, M40 dan Penjawat Awam Kekal Nikmati Subsidi RON95 – PM Anwar Ibrahim

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memberi jaminan bahawa 85 peratus rakyat, termasuk golongan B40, M40, dan penjawat awam, tidak akan terjejas dengan penyasaran subsidi petrol RON95 yang diumumkan dalam Belanjawan 2025.

Menurutnya, langkah ini bertujuan memastikan subsidi hanya dimanfaatkan oleh rakyat Malaysia yang layak dan tidak dinikmati oleh golongan kaya atau warga asing.

Beliau menjelaskan bahawa ketika ini, kerajaan memberikan subsidi kepada semua, termasuk warga asing yang tidak membayar cukai, serta golongan kaya yang memiliki harta berjuta-juta.

“Orang kaya yang mempunyai rumah mewah dan keuntungan berjuta, serta warga asing yang tidak menyumbang melalui cukai, turut menikmati subsidi petrol.

Langkah ini tidak adil kerana mereka mengambil peluang yang seharusnya diberikan kepada rakyat yang memerlukan,” katanya semasa Program Madani Rakyat 2024 di Likas.

Anwar turut mendedahkan bahawa setiap tahun, 40 peratus subsidi petrol dinikmati oleh golongan kaya dan warga asing, melibatkan kos sebanyak RM8 bilion.

“Harga akan kekal RM2.05 untuk 85 peratus rakyat, tetapi golongan kaya perlu membayar lebih sedikit, walaupun tidak melebihi harga pasaran,” jelasnya.

Warga asing yang bekerja di negara ini juga dikehendaki membayar harga pasaran untuk petrol, memandangkan mereka tidak menyumbang melalui cukai.

Perubahan ini, kata Anwar, dijangka dilaksanakan dalam tempoh pertengahan tahun depan, dan kerajaan telah mengambil langkah untuk memastikan rakyat memahami keperluan perubahan ini.

Komen
Loading...