Selepas 30 Tahun, Vokal Zamani Kekal Mencengkam Dalam ‘The Grand Slam Unplugged 2’
- oleh Atie
- 21 Jun 2026 12:24 pm
Selepas tiga dekad melakar sejarah menerusi konsert akustik ikonik di Stadium Merdeka, kumpulan rock legenda tanah air, Slam, membuktikan jenama mereka kekal relevan menerusi konsert ‘The Grand Slam Unplugged 2’ di Mega Star Arena, Bukit Bintang, malam tadi.
Konsert yang dihadiri lebih ribuan peminat tegar itu menyaksikan vokalisnya, Zamani, atau nama sebenarnya Zamani Ibrahim, 55, memberikan persembahan vokal yang cukup bertenaga dan mencengkam sanubari, sekali gus menepis kebimbangan segelintir pihak mengenai faktor kesihatannya sebelum ini.
Iringan Orkestra Simfoni Kebangsaan ternyata memberi impak berbeza, mengubah susunan muzik asal lagu-lagu hits kumpulan itu kepada sebuah karya simfoni akustik yang lebih megah dan mewah.

Antara segmen yang paling mencuri tumpuan dan menggegarkan arena adalah kemunculan khas tiga gitaris legenda tanah air yang diundang bagi menyemarakkan lagi malam bersejarah itu.
Kehadiran Nan Alias yang menyalurkan ‘magis’ tersendiri menerusi lagu Sentuhan Listrikmu disusuli dengan aksi bertenaga gitaris kumpulan Search, Kidd, memukau penonton menerusi petikan solo penuh emosi dalam lagu Gadisku.
Kehangatan segmen berkenaan memuncak apabila gitaris kumpulan Barbarik, Jo Branko, tampil ke pentas mendendangkan lagu berhantu, Intan, Ku Kesepian, yang disambut dengan sorakan gemuruh para peminat.
Terdahulu, tirai persembahan dibuka dengan untaian lagu popular seperti Kembali Terjalin, Nur Kasih dan Tak Mungkin Berpaling yang diberi nafas baharu, mengundang sorakan penonton yang memenuhi ruang arena.
Peminat juga dihidangkan dengan untaian lagu yang jarang dimainkan seperti Syair Si Pari-Pari, Entah Mengapa dan Kita Terpaksa Bermusuhan.

Suasana malam konsert bertukar menjadi lautan emosi apabila sebagai acara kemuncak tirai berlabuh, kesemua gitaris undangan Kidd, Nan Alias, dan Jo Branko kembali naik ke pentas untuk beraksi bersama-sama Slam dan Orkestra Simfoni Kebangsaan.
Gandingan menyeluruh itu mengiringi Zamani mendendangkan lagu ciptaan Saari Amri, Gerimis Mengundang, sekali gus menyaksikan jalinan melodi gitar akustik gergasi yang menutup tirai konsert berdurasi dua jam itu dengan penuh nostalgia dan gilang-gemilang.
Turut hadir menyaksikan konsert bersejarah itu ialah barisan penggiat seni tempatan, rakan media, serta peminat tegar dari Singapura, Brunei, dan Indonesia.
FOTO: PAPADIN.




