Ikuti Kami:

Hujan XX Himpun 17,000 ‘Raingers’ di Stadium Hoki Bukit Jalil

Hujan XX Himpun 17,000 ‘Raingers’ di Stadium Hoki Bukit Jalil

Kumpulan rock indie lagenda tanah air, Hujan, melakar sejarah tersendiri apabila berjaya menghimpunkan seramai 17,000 peminat setia yang digelar ‘Raingers’ dalam konsert mega Hujan XX yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Konsert bersempena sambutan ulang tahun ke-20 penubuhan kumpulan itu bukan sahaja mencetuskan fenomena luar biasa, malah turut mendapat pengiktirafan rasmi daripada Malaysia Book of Records (MBOR).

Pengiktirafan tersebut diberikan bagi kategori ‘Kehadiran Penonton Teramai dalam Konsert Solo Kumpulan Indie’.

Majlis penyampaian sijil pengiktirafan MBOR disempurnakan wakil badan berkenaan iaitu Megat Faris Hussein Megat Muzaffar Shah, Edwin Yeoh dan Mohamad Nazrul Hafizi Ahmad Fauzi bersama Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang.

Sementara itu, Iman merakamkan penghargaan kepada Malaysia Book of Records atas pengiktirafan diberikan selain berterima kasih kepada seluruh Raingers yang menjadi sebahagian daripada detik bersejarah itu.

Menurutnya, sokongan luar biasa ditunjukkan peminat menjadi faktor utama kejayaan konsert berkenaan sehingga berjaya mencipta rekod baharu buat Hujan.

“Terima kasih kepada semua Raingers yang sentiasa memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Hujan.

“Jika diperhatikan, banyak simbol ‘XX’ ditampilkan sepanjang konsert ini sebagai simbolik perjalanan kami menuju tiga dekad dalam industri muzik dan mungkin akan meneruskan penganjuran konsert di Stadium Nasional Bukit Jalil pada masa akan datang,” katanya.

Konsert yang berlangsung selama lebih tiga jam itu menyaksikan Hujan mempertaruhkan lebih 40 buah lagu hits mereka termasuk Pagi Yang Gelap, Mencari Konklusi, dan Aku Skandal, yang dinyanyikan bersama-sama oleh lautan peminat yang membanjiri stadium.

Hujan dianggotai oleh AG Coco (gitar), Izzat (bass), dan Ambobzeela (dram).

Kumpulan yang ditubuhkan pada tahun 2005 itu kekal menjadi antara pelopor utama yang membawa muzik indie tempatan ke arus perdana, dan kejayaan malam tadi membuktikan pengaruh mereka masih utuh dan terus relevan merentas generasi.

Komen
Loading...