Ikuti Kami:

Adaptasi Kaithi Versi Malaysia, Banduan Janji Aksi Penuh Emosi dan Adrenalin

Adaptasi Kaithi Versi Malaysia, Banduan Janji Aksi Penuh Emosi dan Adrenalin

Filem aksi yang dinanti-nantikan tahun ini, Banduan, adaptasi daripada filem pecah panggung India terkenal Kaithi, bakal menemui penonton di seluruh negara bermula 6 November ini.

Versi asal Kaithi, yang ditayangkan di India pada tahun 2019 dalam Bahasa Tamil, berjaya mencatat kutipan hampir ₹105 crore (RM58 juta) dan menjadi antara filem Tamil paling berjaya pada tahun tersebut, selain menjadi filem pertama lakonan Karthi yang menembusi angka ₹100 crore.

Menariknya, adaptasi Malaysia ini tampil dengan nafas tempatan dari hidangan Nasi Dagang hingga penggunaan bahasa dan budaya Malaysia yang disulam indah ke dalam penceritaan, menjadikannya lebih dekat di hati penonton tempatan.

Filem ini juga menandakan kemunculan semula Raja Aksi Malaysia, Dato’ Aaron Aziz, yang menghidupkan setiap babak pertarungan dengan penuh karisma dan tenaga luar biasa.

Diarahkan oleh Kroll Azry dan diterbitkan oleh Number Twenty One Media dengan kerjasama Dream Warrior Pictures, Banduan turut mendapat sokongan Astro Shaw sebagai rakan pemasaran dan pengedaran.

Malam Gala Banduan yang diadakan di TGV Suria KLCC berlangsung meriah dengan kehadiran barisan pelakon hebat tanah air termasuk Dato’ Aaron Aziz, Dato’ Rosyam Nor, Dato’ Afdlin Shauki, Fadli Masoot, Adlin Aman Ramlie, Hushairi Husain, Amir Nafis, Esma Daniel, Abi Madyan, Hawra, Dayang Areeda, Joshua Michael, Zairi Abdul Aziz dan Meynillan.

Kehadiran Karthi Sivakumar, bintang utama versi asal Kaithi, yang diterbangkan khas dari India untuk meraikan tayangan perdana adaptasi Malaysia ini turut menambah seri malam tersebut.

Menurut Penerbit Eksekutif Filem Banduan, Kalyana Devan, pemilihan Kaithi untuk diadaptasi ke versi Malaysia dibuat kerana kisahnya bersifat sejagat dan menyentuh nilai kemanusiaan.

“Kami mahu mengekalkan semangat asal Kaithi, tetapi dengan jiwa dan warna tempatan. Banduan bukan sekadar filem aksi, sebaliknya kisah tentang kasih sayang, pengorbanan dan peluang kedua dalam hidup. Kami berharap filem ini bukan sahaja diterima baik oleh penonton tempatan, tetapi turut memperkukuh hubungan antara industri perfileman India dan Malaysia,” katanya.

Banduan membawa kisah Dali, seorang bekas banduan yang baru dibebaskan selepas 10 tahun penjara dengan satu hasrat untuk bertemu semula anak perempuannya buat pertama kali.

Namun, perjalanan itu bertukar menjadi misi berbahaya apabila Dali terperangkap dalam operasi menyelamat sekumpulan anggota polis yang diracun dan dijadikan tebusan oleh kumpulan samseng.

Filem ini akan ditayangkan serentak di Malaysia, Kanada, Amerika Syarikat, Brunei dan Singapura pada 6 November ini.

Komen
Loading...