Ahli Kumpulan GISBH Mohon Ikat Jamin Rendah – ‘Saya Ada 3 Isteri, 10 Anak’
- oleh Samad Mohd
- 3 bulan lalu
Seorang ahli kumpulan Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap bekas ahli jemaah organisasi itu, awal bulan ini.
Memetik Harian Metro, tertuduh yang memiliki tiga isteri dan 10 cahaya mata itu mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ahmad Afiq Hasan.
Mengikut pertuduhan, Mohamad Riza Makar, 39, didakwa menakutkan secara jenayah terhadap seorang wanita berusia 25 tahun dengan mengeluarkan kata-kata — ‘Kita tunggu. Kami tahu dekat mana rumah, suami dan keluarga,’.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum dua tahun, atau denda, atau dengan kedua-duanya.
Peguam, Zulfikri Ulul Azmin yang mewakili tertuduh menyifatkan tawaran jaminan oleh pihak pendakwaan itu tidak wajar dan terlalu tinggi sebelum memohon supaya anak guamnya dibenarkan jaminan pada kadar minimum atas alasan mempunyai tanggungan ramai.
“Tertuduh berniaga sendiri dengan pendapatan RM4,000 sebulan dan mempunyai tiga isteri serta menanggung 10 anak.
“Mohon mahkamah turut mengambil kira bahawa tertuduh tiada risiko melarikan diri dan memberikan kerjasama penuh sepanjang siasatan pihak polis,” katanya.
Sebelum Ahmad Afiq membenarkan jaminan, tertuduh kemudian memohon supaya diberikan jaminan rendah memandangkan salah seorang isterinya baru saja melahirkan anak sebulan lepas selain pendaftaran bayi itu belum dibuat.
“Memandangkan sekarang cuti sekolah, saya perlu berdepan dengan 10 anak untuk menyediakan wang bagi persiapan sekolah akan datang,” rayunya.
Mendengar hujah kedua-dua pihak, Ahmad Afiq membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.
“Syarat tambahan supaya tidak mengganggu, menghampiri dan menghubungi pengadu sepanjang kes berjalan dan lapor diri di balai polis berdekatan pada minggu pertama,” katanya yang kemudian menetapkan 18 Oktober ini untuk sebutan kes.