Penyanyi remaja, Muhammad Aiman Yusri, 22 yang dikenali Aiman Tino dikompaun RM1,000 kerana memancing di kolam ikan di Ampang Pecah, Kuala Kubu Bharu semalam
Mendakwa dirinya ‘terperangkap’, ketika kejadian dia bersama bapanya, Yusri Ishak, 51, dan adiknya Muhammad Haikal, 14, berada di lokasi ketika polis menyerbu masuk kawasan kolam berkenaan.
“Saya tergamam dan hairan mengapa polis menyaman saya dan ayah bersama pengunjung yang lain. Kami masuk ke kawasan kolam itu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang disediakan pemilik kolam.
“Ketika serbuan polis petang lewat petang semalam, hujan lebat. Ramai pengunjung berteduh dalam sebuah bangsal dan ketika itu melebihi 20 orang.
“Polis enggan menerima penjelasan kami dan terus mengeluarkan kompaun kepada pengunjung,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Media melaporkan seramai 59 pemancing termasuk dua pekerja warga asing dikenakan kompaun masing-masing RM1,000 kerana melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), petang semalam.
Aiman mendakwa sepatutnya pengusaha kolam pancing itu dikenakan tindakan undang-undang dengan kompaun yang sesuai dan bukannya 59 pemancing lain yang datang ke situ.
Mereka dikehendaki melunaskan bayaran kompaun RM1,000 di Pusat Kesihatan Daerah Hulu Selangor selewat-lewatnya 8 Jun ini.
Sumber : Berita Harian
Foto : Instagram Aiman Tino, Berita Harian