AirAsia dipilih rakan penerbangan rasmi Sidang Kemuncak Malaysia-China 2024
- oleh Samad Mohd
- 7 bulan lalu
KUALA LUMPUR: AirAsia diumumkan sebagai rakan penerbangan rasmi bagi Sidang Kemuncak Malaysia-China 2024 (MCS 2024) bagi memastikan akses dan hubungan yang lebih baik untuk para perwakilan dan peserta dari China serta negara-negara ASEAN yang lain.
Pengarah kanan bahagian perancangan strategik Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Raja Badrulnizam Raja Kamalzaman, berkata sidang kemuncak itu adalah peluang strategik untuk meningkatkan hubungan perdagangan, pelaburan dan kebudayaan Malaysia.
Selain AirAsia, Tourism Malaysia dan China Enterprises Chamber of Commerce in Malaysia juga merupakan rakan strategik terbaharu MCS 2024.
“Melalui perkongsian dengan majlis perniagaan dan dewan perniagaan yang berpengaruh, kami mengukuhkan keupayaan kolektif kami untuk memudahkan peluang perdagangan dan pelaburan.
“Penyertaan AirAsia sebagai syarikat penerbangan tambang rendah rasmi secara strategik mengembangkan kebolehcapaian sidang kemuncak kepada khalayak yang lebih luas, mengukuhkan lagi impak kami,” kata Raja Badrulnizam dalam ucapannya pada sesi ‘MCS 2024: Networking Engagement Series in Kuala Lumpur, di sini, semalam.
Beliau berkata MCS 2024 akan mewujudkan peluang besar yang boleh memanfaatkan potensi perdagangan dan pelaburan bernilai RM2 bilion.
Bertemakan, ‘Prosperity Beyond 50’, MCS 2024 meraikan hubungan yang telah terjalin lama antara Malaysia dan China di samping merancang ke arah kemakmuran ekonomi bersama pada masa depan.
Sidang kemuncak yang dijadualkan berlangsung dari 17 – 19 Disember 2024 di Malaysia international Trade and Exhibition Centre (MITEC) itu akan merangkumi Ekspo Perdagangan dan Pelaburan Antarabangsa selama tiga hari serta Persidangan Kepimpinan selama dua hari dan dijangka menarik 500 pempamer dan 10,000 perwakilan dari Malaysia, China dan negara-negara ASEAN.
Sementara itu, Ketua Pegawai Komersial Kumpulan AirAsia Paul Caroll berkata syarikat penerbangan itu melihat kerjasama tersebut sebagai perkongsian strategik, memandangkan pengembangan berterusan AirAsia di seluruh rantau ini.
“Kami mengendalikan perkhidmatan penerbangan terus ke 16 destinasi dari Malaysia ke China dalam Kumpulan AirAsia, termasuk laluan eksklusif.
“Dalam menyambut ulang tahun ke-50 hubungan dua hala Malaysia-China, kami komited untuk mengukuhkan lagi hubungan antara kedua-dua negara melalui pelancongan dan seterusnya menyumbang kepada kedatangan lima juta pelancong China, seperti yang disasarkan oleh Tourism Malaysia tahun ini,” katanya.
Sebagai syarikat penerbangan tambang rendah asing yang terbesar di China, AirAsia akan menawarkan penerbangan eksklusif kepada peserta sidang kemuncak tersebut.
“Semua peserta MCS 2024 boleh membuat tempahan penerbangan mereka mulai sekarang hingga akhir Jun, melalui laman sesawang rasmi AirAsia atau aplikasi AirAsia MOVE.
“Sebagai tambahan, kod promosi (dengan diskaun 10 peratus) akan tersedia di laman sesawang MCS 2024 di www.malaysia-chinasummit.com.my,” katanya sambil menambah promosi tersebut akan terpakai untuk tarikh perjalanan antara 9-20 Disember 2024.
Laluan promosi itu melibatkan penerbangan AirAsia ke bandar-bandar utama di Asia seperti Hong Kong, Hangzhou, Shenzhen, Guangzhou, Shanghai, Chengdu, Jakarta, Ho Chi Minh City, Singapura, Bangkok, Phnom Penh, Siem Reap, Sihanoukville, Vientiane dan Manila.
Selain itu, para perwakilan yang tiba di Kuala Lumpur boleh menggunakan AirAsia Ride sebagai pengangkutan di ibu kota, di samping menikmati tawaran hidangan Santan AirAsia dan barangan eksklusif di sidang kemuncak tersebut.
MCS 2024 dianjurkan secara kerjasama oleh MATRADE dan Qube Integrated (M) Sdn Bhd sebagai salah satu program utama untuk memperingati ulang tahun ke-50 Malaysia-China, yang disokong oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).