Akmal Saleh Sedia Hadapi Mahkamah Demi Pertahan Islam dan Melayu
- oleh Samad Mohd
- 3 bulan lalu
JASIN – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh, hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin hari ini untuk memberi keterangan berhubung laporan polis yang dibuat oleh DAP Sarawak pada 12 September lalu. Laporan tersebut berkaitan kenyataan yang didakwa berunsur keagamaan dan hasutan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, yang tiba sekitar pukul 10 pagi bersama tiga peguam yang diketuai Shakeel Saifuzzaman, diiringi lebih 200 penyokong termasuk ahli dan pemimpin Pemuda UMNO Melaka serta beberapa NGO. Akmal memberi keterangan selama kira-kira 45 minit.
Memetik Sinar Harian, Akmal yang juga Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri menjelaskan kenyataannya adalah sebagai respons kepada kenyataan Naib Pengerusi DAP, yang juga Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, dan bukan bertujuan menyerang mana-mana pihak.
Beliau turut menegaskan kesediaannya untuk menghadapi mahkamah dalam isu yang melibatkan kepentingan Islam dan orang Melayu.
“Saya tegaskan sekali lagi, perkara sensitif tidak boleh disentuh jika ingin menjaga keharmonian negara ini. Saya percaya ini bukan hanya menyakitkan hati saya, tetapi juga semua orang Melayu Islam.
“Saya serahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan, dan saya telah memberi kerjasama sepenuhnya,” katanya.