Ikuti Kami:

Anarchy Sky Bimbang Keselamatan Keluarga, Dakwa Rumah Diceroboh Tanpa Waran

Anarchy Sky Bimbang Keselamatan Keluarga, Dakwa Rumah Diceroboh Tanpa Waran

Pempengaruh media sosial Ahmad Faizal Sulaiman atau lebih dikenali sebagai Anarchy Sky mendakwa keselamatan keluarganya terancam selepas menerima ugutan berterusan daripada pihak yang tidak dikenali termasuk insiden pencerobohan rumah tanpa waran.

Menurut Ahmad Faizal, insiden itu berlaku selepas beliau menyelesaikan satu kes di mahkamah melibatkan seorang wanita di mana beliau telah membayar denda RM100 seperti yang diputuskan hakim.

Namun beliau mendakwa masih diganggu oleh pengerusi sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu yang mendesaknya memohon maaf secara terbuka.

“Kes itu sudah selesai di mahkamah, saya sudah bayar denda. Tetapi saya masih diugut. Ada pihak bersama pengadu datang ke rumah tanpa sebarang waran atau pemberitahuan menceroboh kawasan kediaman dan menunggu di luar pagar.

Ahmad Faizal Sulaiman @ Anarchy Sky.

“Saya pernah diugut dua kali, semasa di luar rumah dan ketika berada dalam kereta. Kejadian ini menyebabkan saya bimbang akan keselamatan anak dan isteri sehingga terpaksa membawa mereka ke Singapura beberapa hari,” katanya pada sidang media di ibu negara.

Beliau turut mendakwa menerima mesej daripada wakil sebuah NGO melayu yang mahu berjumpa untuk membincangkan isu tersebut yang telah pun diputuskan mahkamah dan disiasat pihak polis.

“Saya telah dua kali membuat laporan polis berhubung ugutan ini, namun sehingga kini masih tiada tindakan diambil, sehingga menyebabkan kami sekeluarga hidup dalam ketakutan,” katanya

Sementara itu Pengasas Pertubuhan Kebajikan Integriti Persahabatan Nasional (PKIPN) Joseph Prakash berkata pihaknya akan menyerahkan memorandum kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman bagi mendesak tindakan segera.

Joseph Prakash.

“Kami anggap ini satu bentuk ancaman serius yang bukan sahaja berlaku di media sosial tetapi juga di dunia nyata sehingga mengganggu ketenteraman hidup mangsa dan keluarganya.

“Pihak polis perlu mengambil tindakan tegas sebelum berlaku sesuatu yang tidak diingini,” tegas Joseph.

Joseph turut menegaskan bahawa pihak persatuan sentiasa melindungi golongan yang teraniaya tanpa mengira bangsa dan agama.

Terdahulu, Mahkamah Majistret Selayang mengenakan denda RM100 terhadap Ahmad Faizal di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil (AKK) kerana memaparkan gambar seorang individu tanpa kebenaran dalam siaran langsung TikTok.

Seksyen ini memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100 atau penjara sehingga satu bulan bagi kesalahan mengganggu ketenteraman awam.

Komen
Loading...