Anggota PDRM, ATM Antara Ditahan Terbabit Sindiket Seludup PATI
- oleh Samad Mohd
- 5 tahuns lalu
Anggota penguatkuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) antara 18 orang yang ditahan Polis Johor kerana terbabit dalam sindiket jenayah terancang penyeludupan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di negeri ini, sejak 2017.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata penahanan 18 anggota penguatkuasa itu susulan tangkapan 40 suspek sindiket penyeludupan PATI dalam operasi pada 4 Jun lalu.
Kesemua suspek yang ditahan berusia 24 hingga 41 tahun dan akan disiasat di bawah Seksyen 130V hingga Seksyen 130ZB BAB VIB Jenayah Terancang Kanun Keseksaan dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 SOSMA.
“Hasil maklumat yang diperolehi itu, Jabatan Siasatan Jenayah Johor (JSJJ) melancarkan operasi susulan pada Isnin hingga awal pagi tadi dan berjaya menahan 18 anggota penguatkuasa termasuk seorang pegawai kanan polis negeri ini.
“Kesemua suspek membabitkan pegawai kanan polis berpangkat Asisten Superintendan (ASP) yang bertugas di sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di negeri ini, seorang anggota pangkat rendah Polis Marin Wilayah Dua, Tampoi, dua anggota pangkat rendah bertugas di Bukit Aman dan sembilan anggota pangkat rendah bertugas di IPD Kota Tinggi.
“Polis Johor turut menahan dua pegawai ATM dan tiga anggota ATM lain-lain pangkat,’katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.
Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati 18 penguatkuasa berkenaan bersengkongkol dengan sindiket penyeludupan PATI dalam menyalurkan maklumat termasuk operasi yang dijalankan pihak berkuasa negara ini sekali gus menjadi dalang kebocoran maklumat dalaman.
“Suspek penguatkuasa ini dipercayai menerima imbuhan sangat lumayan iaitu sehingga RM10,000 setiap transaksi penyeludupan PATI malah turut dikesan terbabit dalam penyeludupan dadah.
“Hasil siasatan mendapati bayaran dibuat dalam bentuk tunai bagi menghilangkan jejak wang jika ia dilakukan menerusi transaksi perbankan,” katanya.
Ayob Khan berkata, polis tidak akan bertolak ansur dan melindungi mana-mana pegawai dan agensi penguatkuasa sekiranya terbukti mereka benar-benar terbabit dalam sindiket penyeludupan PATI.
Sumber : Facebook Polis Johor