Anggota Polis Ditahan, Disyaki Memeras Ugut Buruh Sawit RM2,000
- oleh Samad Mohd
- 3 bulan lalu
IPOH: Seorang anggota polis ditahan kerana disyaki memeras ugut seorang lelaki untuk menyerahkan wang tunai RM2,000 bagi menyelesaikan kes lampau yang dihadapi oleh lelaki tersebut.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris, mengesahkan bahawa anggota polis yang bertugas di sebuah balai di Daerah Bagan Datuk itu ditangkap di sekitar kawasan Hutan Melintang, Bagan Datuk pada jam 7 malam Isnin.
Mangsa yang bekerja sebagai buruh sawit telah membuat laporan polis berkaitan salah laku anggota polis tersebut.
“Kes ini berlaku di Teluk Intan dan saya telah mengarahkan Ketua Polis Daerah (OCPD) supaya menjalankan siasatan telus mempastikan ianya mengikut lunas undang-undang.
“Apa juga pelaksanaan undang-undang, kesalahan yang melibatkan sesiapa sahaja akan mengikut peraturan dan undang-undang dalam penyiasatan.
“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang mencemarkan nama baik pasukan,” katanya ketika ditemui selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, di sini seperti dilaporkan Astro Awani.
Difahamkan suspek lelaki berusia 40 tahun itu menawarkan bantuan untuk menyelesaikan kes lampau berkaitan urin mangsa berusia 37 tahun di sebuah rumah di Langkap, Teluk Intan, pada 26 September lalu. Kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, dalam ucapannya, Azizi juga mengingatkan warga polis Kontinjen Perak agar menjalankan tugas dengan penuh disiplin dan integriti, serta tidak terlibat dalam sebarang kesalahan jenayah.