Ikuti Kami:

Anwar Ibrahim Seru Hentikan Fitnah Lama, Fokus Kepada Kestabilan Politik dan Tata Kelola Negara

Anwar Ibrahim Seru Hentikan Fitnah Lama, Fokus Kepada Kestabilan Politik dan Tata Kelola Negara

Perdana Menteri menjelaskan bahawa isu-isu lama, termasuk yang sudah berdekad lamanya, diungkit semula dengan niat memfitnah dan mencemarkan maruah beliau.

“Kamu hinalah sebanyak mana pun… sudah berpuluh tahun saya dihina, dikatakan ejen Yahudi, ejen Israel, main lelaki, main perempuan… yang belum lagi dikatakan, main dengan lembu saja belum.

“Jadi, kamu nak hina… tiada maknanya. Tetapi biarlah mengikut adab dan akhlak. Kamu tahu hukum. Kalau nak bawa kes, saya boleh cerita, tapi saya mahu maju ke hadapan,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Anwar menegaskan bahawa walaupun pelbagai penghinaan dilemparkan terhadapnya, beliau tetap komited untuk memastikan kestabilan politik negara, agar dasar yang dirangka kerajaan dapat dilaksanakan dengan berkesan.

“Ini Madani, tata kelola mesti baik. Cara lama seperti buat kontrak tanpa tender, ‘sakau’ di sana sini, perlu dihentikan. Segala yang bocor dan dicuri mesti ditahan.

“Sebab itu kita kena yakin, apabila semua ini mula berlaku, perubahan akan mula terlihat,” tambahnya.

Beliau juga mengkritik kenyataan pembangkang yang mempertikaikan syarat mengisytiharkan harta seperti yang terkandung dalam draf memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan dan pembangkang.

“Mereka tanya kenapa Perdana Menteri tidak isytihar (harta)… saya tiada masalah, boleh isytihar. Ini tidak, mereka kata isytihar harta itu menyeksa. Baru diminta isytihar harta sudah kata terseksa, saya dalam penjara lebih dari 10 tahun.

“Saya tidak mahu ungkit perkara itu lagi. Fokus saya sekarang adalah untuk menjaga negara ini supaya menjadi lebih hebat dan cemerlang, menjadi contoh terbaik kepada dunia,” katanya.

Komen
Loading...