Ikuti Kami:

Bekas Eksekutif MBI Ditahan SPRM, Disyaki Terlibat Skandal Rasuah Perlombongan Pasir

Bekas Eksekutif MBI Ditahan SPRM, Disyaki Terlibat Skandal Rasuah Perlombongan Pasir

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan dua individu, termasuk seorang bekas eksekutif kanan di Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI), bagi menyiasat kes rasuah yang berkaitan dengan konsesi perlombongan pasir.

Difahamkan, tangkapan kedua-dua individu tersebut dibuat pada hari Khamis lalu.

Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, siasatan masih berada di peringkat awal dan dijalankan mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

“Salah seorang suspek telah direman selama lima hari sehingga Selasa, manakala seorang lagi dibebaskan oleh mahkamah atas sebab kesihatan,” katanya pada Ahad.

SPRM juga telah menyita kira-kira 15 akaun bank yang berkaitan dengan individu dan syarikat terbabit bagi membantu siasatan lanjut.

Memetik Sinar Harian, selain bekas eksekutif MBI, seorang lagi individu yang ditahan adalah seorang ahli perniagaan. Kedua-dua mereka didakwa mempunyai hubungan dengan seorang pemimpin pembangkang terkenal yang pernah berpengaruh di Selangor.

Bekas eksekutif itu disyaki telah menerima rasuah jutaan ringgit daripada syarikat yang memperoleh konsesi perlombongan pasir beberapa tahun lalu. Ahli perniagaan tersebut pula dipercayai bertindak sebagai orang tengah bagi menguruskan bayaran suapan kepada suspek pertama.

Tambahan lagi, dua individu lain yang dikaitkan dengan syarikat perlombongan pasir juga telah ditahan oleh SPRM, namun mereka dibebaskan selepas disoal siasat.

Menurut sumber, skandal ini dipercayai bermula lebih lima tahun lalu apabila syarikat berkenaan memohon konsesi perlombongan pasir daripada MBI, dan aktiviti rasuah berlanjutan sejak syarikat itu memperoleh konsesi tersebut.

SPRM turut menyiasat kemungkinan penglibatan ahli politik yang dikaitkan dalam kes ini.

“Kita akan menentukan jika ada keperluan untuk mengambil keterangan daripada beliau. Setakat ini, siasatan masih berjalan,” tambah Tan Sri Azam.

Komen
Loading...