Bekas Tukang Masak Bunuh Nur Syuhada Terlepas Hukuman Gantung, Keluarga Terus Cuba Minta Maaf Kepada Keluarga Arwah
- oleh Samad Mohd
- 3 bulan lalu
ALOR SETAR: Bekas tukang masak yang didapati bersalah membunuh pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Pulau Pinang, Nur Syuhada Johari, 20, pada 2015 terlepas hukuman gantung sampai mati.
Mahkamah Persekutuan yang bersidang di Mahkamah Tinggi, di sini, pada Rabu memutuskan menggantikan hukuman mati mandatori itu kepada penjara 38 tahun dan 14 sebatan setelah membenarkan permohonan Syarafi Abu, 34.
Keputusan ini dibuat oleh panel tiga hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersidang bersama Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nordin Hassan.
Tengku Maimun memerintahkan hukuman penjara ke atas lelaki berkenaan dijalankan dari tarikh dia ditangkap pada 2 Februari 2015.
Sebelum ini, peguam Syarafi, Farida Mohammad memohon hukuman ke atas anak guamannya diringankan dengan hukuman penjara 31 hingga 35 tahun.
Perkara itu bagaimanapun dibantah oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Fuad Abdul Aziz yang mengemukakan hujah bahawa perbuatan dilakukan oleh Syarafi adalah sangat kejam.
“Maaf Yang Amat Arif, dan Yang Arif, Yang Arif, saya teremosi dalam perkara ini kerana saya sendiri mempunyai anak.
“Saya mohon hukuman gantung ini kekal. Mangsa ditikam dengan pisau rambo. Anak yang dijaga sehingga besar tiba-tiba dibawa pergi dan dibunuh,” hujahnya.
Mohd. Fuad berkata, bagaimanapun, beliau memohon hukuman yang paling berat sehingga 40 tahun penjara dan 20 sebatan jikalau hukuman ini perlu ditukar.
Pada 6 November 2019, Mahkamah Persekutuan Putrajaya mengekalkan hukuman mati ke atas Syarafi kerana membunuh seorang pelajar perempuan dengan mengelar lehernya.
Pada November 2019, Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman mati ke atas bekas tukang masak itu kerana membunuh Nur Syuhada dengan mengelar lehernya pada 2015.
Ibu bapa kepada Syarafi Abu, 33, yang terlepas hukuman gantung hari ini, akan terus berusaha memohon maaf kepada keluarga Allahyarham Nur Syuhada Johari, selepas cuba melakukannya sejak sembilan tahun lalu.
Abu Husin, 64, dan isterinya, Robiah Alwi, 62, berkata mereka reda dengan ketentuan yang perlu ditanggung Syarafi akibat perbuatan membunuh gadis itu, namun tetap bersyukur dengan keputusan dibuat Mahkamah Persekutuan hari ini.