Belanjawan 2025 Perkukuh Ekonomi Digital, Kementerian Digital Diberi RM1.3 Bilion
- oleh Samad Mohd
- 2 bulan lalu
Kementerian Digital menyambut baik pembentangan Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, yang turut merangkap sebagai Menteri Kewangan, semalam.
Dalam usaha memperkukuh ekonomi digital negara, Kementerian Digital menerima peruntukan sebanyak RM1.3 bilion untuk memacu inovasi teknologi, termasuk kecerdasan buatan (AI) serta memperluas langkah-langkah keselamatan siber.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo, dalam kenyataannya merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas peruntukan ini yang bertujuan untuk meningkatkan inovasi teknologi baharu serta memperkuat ekosistem digital Malaysia.
Bertemakan “Ekonomi MADANI, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera”, Belanjawan 2025 turut memberi tumpuan kepada usaha pendigitalan perniagaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta pembangunan bakat dalam bidang teknologi.
Salah satu sorotan belanjawan ini adalah peruntukan RM10 juta untuk menubuhkan Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO).
Pejabat ini akan bekerjasama dengan akademia dan industri untuk mempertingkat penggunaan teknologi AI di Malaysia.
Selain itu, penubuhan Rangkaian Keselamatan AI ASEAN (ASEAN AI Safe Network) juga turut diperuntukkan, yang akan menggembleng kepakaran keselamatan AI di rantau ini.
Gobind turut menyatakan sokongan terhadap beberapa inisiatif digital lain yang diumumkan dalam Belanjawan 2025.
Antaranya termasuk pelaksanaan e-invois sepenuhnya pada 1 Julai 2025 dengan elaun modal untuk pembelian peralatan ICT dan perisian komputer, serta peruntukan RM50 juta untuk universiti penyelidikan bagi pembelajaran AI, yang meningkat berbanding RM20 juta dalam Belanjawan 2024.
Langkah lain yang diambil termasuk potongan cukai untuk Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang menawarkan kursus berkaitan teknologi digital, AI, robotik, IoT, dan teknologi mampan.
Selain itu, peruntukan juga diberikan kepada Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) untuk menambah jawatan dalam pelaksanaan Akta Keselamatan Siber 2024, serta RM50 juta bagi Geran Padanan Digital untuk PMKS dan penjaja di bawah BSN.
“Belanjawan 2025 jelas menunjukkan komitmen kerajaan dalam memastikan kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.
“Dengan peruntukan ini, Kementerian Digital akan terus memacu transformasi digital Malaysia dan memperkukuhkan ekonomi digital. Usaha ini selaras dengan sasaran untuk memastikan ekonomi digital menyumbang 25.5% kepada KDNK menjelang tahun 2025,” kata Gobind Singh Deo.
Inisiatif ini diharap dapat membantu Malaysia menjadi negara yang lebih cekap dan selamat dalam menghadapi cabaran dunia digital yang semakin berkembang pesat.