Ikuti Kami:

Belanjawan 2025: Tambahan RM3 Bilion untuk STR dan SARA, Sasaran Tiada Rakyat Berpendapatan Kurang RM1,100 Sebulan

Belanjawan 2025: Tambahan RM3 Bilion untuk STR dan SARA, Sasaran Tiada Rakyat Berpendapatan Kurang RM1,100 Sebulan

Pertambahan RM3 bilion pada peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) seperti diumumkan melalui Belanjawan 2025 bermakna tidak akan ada lagi rakyat di Malaysia berpendapatan kurang 1,100 sebulan.

Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mana nilai minimum RM1,000 sebulan belum lagi diambil kira bantuan diterima daripada kerajaan negeri, agensi zakat atau yayasan.

Penambahan peruntukan RM3 bilion juga membolehkan kadar maksimum diterima isi rumah meningkat kepada RM4,600 berbanding RM3,700 ketika ini.

“Jika dihitung keseluruhan bantuan STR, SARA dan JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat), isi rumah miskin dengan tiga anak layak menerima bantuan lebih RM13,000 setahun, yakni suatu peningkatan amat ketara ketimbang RM11,000 pada masa ini.

“Untuk warga emas miskin pula layak menerima bantuan lebih RM10,000 setahun ketimbang RM8,000 (ketika ini).

“Ini bermakna tidak ada rakyat di Malaysia yang berpendapatan kurang RM1,100 sebulan dan ini belum mengambil kira bantuan daripada kerajaan negeri, zakat dan yayasan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025.

Justeru, Perdana Menteri berkata tanggungjawab kerajaan kini adalah untuk memastikan tiada berlaku keciciran.

“Oleh itu, pihak JKM dan ICU (Unit Penyelarasan Pelaksanaan) JPM (Jabatan Perdana Menteri) harus berganding bahu dan menggandakan usaha verifikasi golongan miskin,” katanya.

Perdana Menteri turut menyeru semua kerajaan negeri untuk turut menambah baik kadar bantuan am negeri masing-masing.

Terdahulu, Perdana Menteri memaklumkan kerajaan akan memberikan peningkatan tertinggi bagi STR dan SARA untuk 2025 membabitkan peruntukan RM13 bilion berbanding RM10 bilion.

Dengan peningkatan RM3 bilion itu akan memberi manfaat kepada 9 juta penerima atau bersamaan 60 peratus penduduk dewasa negara.

“Kita akui dan mendengar rungutan tentang kos sara hidup. Lantaran itu, kita mengambil langkah serta kebijakan ekonomi yang merupakan peningkatan peruntukan dan kadar maksimum bantuan tunai yang tertinggi pernah diberikan kerajaan dalam menangani kos sara hidup rakyat,” katanya.

Berdasarkan pengumuman itu, Perdana Menteri berkata sejumlah 4.1 juta penerima STR kategori isi rumah akan menerima SARA (RM100 sebulan) berbanding 700,000 penerima tahun ini.

Kategori bujang pula akan menerima STR berjumlah RM600.

Bantuan SARA akan dikreditkan ke dalam MyKAD penerima bermula April 2025 dan boleh dibelanjakan untuk membeli barangan asas seperti makanan dan minuman, ubat-ubatan, barang persekolahan serta kebersihan diri di lebih 600 pasar raya dan kedai runcit seluruh negara.

Ini ditambah peningkatan peruntukan bantuan tunai di bawah JKM kepada RM2.9 bilion berbanding RM2.4 bilion ketika ini.

Kadar bantuan kebajikan bulanan kepada rakyat miskin juga akan ditingkatkan termasuk kadar bantuan warga emas yang dinaikkan kepada RM600 sebulan berbanding RM500 ketika ini.

Kadar bantuan kanak-kanak keluarga miskin juga dinaikkan daripada RM200 kepada RM250 seorang bagi anak berusia enam tahun dan ke bawah, manakala anak berusia tujuh hingga 18 tahun dinaikkan daripada RM150 kepada RM200 seorang yang tertakluk kepada kadar maksimum RM1,000 sekeluarga.

Untuk Wilayah Persekutuan, kadar bantuan am juga dinaikkan kepada RM150 berbanding RM100 dengan kadar maksimum sekeluarga RM500 sebulan.

Komen
Loading...