Bomoh, Sihir & Dendam: Munajjim Papar Gelapnya Jalan Syirik
- oleh Gerbang Daily
- 29 Jul 2025 5:49 pm
Filem seram tempatan terbaharu, Munajjim: Sekutu Iblis, arahan Faizul A. Rashid dan terbitan Yusrych Global Sdn Bhd mengetengahkan sisi gelap amalan syirik dan kebergantungan kepada ilmu hitam dalam kalangan masyarakat moden.
Berbeza daripada filem seram stereotaip yang sering menampilkan entiti seperti pontianak atau pocong, Munajjim memaparkan realiti menakutkan bagaimana manusia masih bergantung kepada bomoh dan sihir sebagai jalan pintas menyelesaikan masalah kehidupan.
Menurut penerbit filem, Yusry Makmor, karya ini diinspirasikan daripada kisah benar yang memperlihatkan bagaimana amalan khurafat dan ilmu hitam boleh menjerat manusia ke lembah syirik yang memudaratkan diri dan keluarga.
“Filem ini bukan sekadar hiburan seram, sebaliknya membawa mesej jelas tentang bahaya amalan syirik serta perjanjian manusia dengan jin dan iblis yang membawa kepada kerosakan akidah,” katanya.
Munajjim: Sekutu Iblis mengisahkan tentang seorang lelaki yang nekad menggunakan sihir bagi membalas dendam terhadap bekas kekasih isterinya yang mengganggu rumah tangga mereka.

Namun, ilmu hitam itu berpaling arah dan mula menghantui mereka sekeluarga. Ketaksuban dua beranak terhadap bomoh menjadi punca kepada malapetaka yang tidak terduga.
Disokong oleh barisan pelakon hebat seperti Farid Kamil, Uqasha Senrose, Che Puan Juliana Evans, Mustaqim Bahadon, Sherrie Merlis serta pelakon cilik Daniel Aqil, filem ini menjanjikan lakonan penuh emosi dan intensiti yang mencengkam.
Pengarah Faizul A. Rashid menjelaskan bahawa Munajjim menampilkan keseraman yang lebih mendalam berbanding filem seram komersial biasa.
“Kami cuba tampilkan pendekatan visual yang sinematik dan skrip yang menyentuh realiti. Penonton akan dibawa menyelami psikologi watak-watak yang memilih jalan salah demi kepuasan diri, tanpa menyedari akibat yang bakal ditanggung,” jelasnya.
Filem ini menjalani penggambaran pada Januari 2025 di sekitar Selangor dan merupakan idea asal Yusry Makmor bersama Zafran Aziz dan Rozita Mat Isa.
Dengan kerjasama TGV dan edaran antarabangsa oleh D’Ayu Pictures serta promosi oleh Empire Solutions, Munajjim: Sekutu Iblis bakal menghantui pawagam seluruh negara mulai 31 Julai 2025.




