Buat Kenyataan Berunsur Fitnah, Aliff Syukri Disaman RM70 Juta
- oleh Samad Mohd
- 8 bulan lalu
KUALA LUMPUR – Usahawan popular, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman sememangnya tidak sunyi daripada kontroversi.
Terbaru, pengasas dan pemilik D’Herbs Holding Sdn Bhd itu berdepan tuntutan saman berjumlah RM70 juta.
Difailkan oleh bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir, saman tersebut susulan kenyataan fitnah didakwa dibuat Aliff Syukri pada 2 Julai 2023.
Hakim Ahmad Shahrir Mohd Salleh dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sehubungan itu menetapkan 6 hingga 8 Jan 2026 sebagai tarikh bicara, manakala 5 Julai nanti ditetapkan untuk pengurusan kes.
Portal FMT melaporkan, peguam Abdul Kadir, T Dheenish berkata, anak guamnya akan memberi keterangan ketika proses perbicaraan kes berlangsung.
Difahamkan, kenyataan dibuat defendan itu dimuat naik di Instagram dan Facebook milik beliau.
Dalam perkembangan berkaitan, peguam mewakili Aliff Syukri, Mohd Tajudin Abdul Razak pula berkata, pihak defendan akan mengemukakan dua saksi iaitu anak guamnya sendiri dan isteri beliau, Datin Seri Nur Shahida Mohd Rashid untuk memberi keterangan.
Abdul Kadir yang memfailkan saman berkenaan pada 6 September tahun lalu dipetik sebagai berkata, Aliff Syukri telah mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadap dirinya di platform media sosial, termasuk Facebook dan Instagram.
Kata Abdul Kadir, kenyataan tersebut antara lain mendakwa plaintif berhutang jutaan ringgit dengan defendan, malah gambar plaintif turut diletak pada kenyataan itu, sekali gus mengundang komen negatif pembaca.
Susulan kenyataan, defendan dituntut membayar RM70 juta untuk libel (fitnah bertulis) dan ganti rugi yang akan dinilai oleh mahkamah.
Defendan juga dituntut memberi aku janji bertulis tidak akan menyiarkan sebarang fitnah terhadap plaintif.
Aliff Syukri juga perlu membuat permohonan maaf tanpa syarat di akaun media sosial miliknya dalam tempoh tujuh hari dari tarikh perintah.
Dalam pada itu, defendan menerusi pernyataan pembelaan berkata, beliau telah membuat bayaran pelaburan RM30 juta bagi mematuhi perjanjian usaha sama bertarikh 26 Novemberi 2018 melibatkan plaintif, defendan serta dua syarikat.
“Semua pihak dalam perjanjian usaha sama ini gagal membuat pembayaran wang yang telah dilaburkan oleh saya dan segala pelanggaran-pelanggaran janji sedemikian termasuklah aku janji yang diberikan plaintif kepada saya adalah di dalam pengetahuan plaintif sendiri,” dakwanya.