Ikuti Kami:

CEO GISBH, 18 Yang Lain Termasuk Isteri Dan 2 Anak Direman 7 Hari

CEO GISBH, 18 Yang Lain Termasuk Isteri Dan 2 Anak Direman 7 Hari

SHAH ALAM: Pengerusi yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings (GISBH), Datuk Nasiruddin Mohd Ali, bersama 18 yang lain direman selama tujuh hari bermula hari ini.

Majistret Wan Noora Nisa Ngadirin membenarkan permohonan polis untuk menahan reman suspek hingga 25 September ini untuk membantu siasatan.

Semua suspek berusia lingkungan 25 hingga 65 tahun terdiri 12 lelaki dan tujuh wanita akan ditempatkan di Lokap Berpusat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, di sini.

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan Nasiruddin bersama beberapa pemimpin kanan termasuk isteri dan dua anaknya ditahan polis dalam Op Global susulan laporan rumah amal kendalian syarikat itu yang didakwa melakukan penderaan, pengabaian serta salah laku seksual.

Mereka ditahan jam 5.40 pagi tadi selepas serbuan dibuat terhadap empat unit kondominium di Kuala Lumpur.

Operasi dijalankan pasukan Bahagian Operasi Khas (D8), Pasukan Khas Siasatan Bersepadu (PKSB) dan Bahagian Siasatan Jenayah Terancang (D14) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 32 (a) Akta Kanak-Kanak 2001, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 serta Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) (Pindaan) 2022.

Sumber
Komen
Loading...