Ikuti Kami:

CHEN (EXO) Bakal Mengadakan Konsert Solo Di Kuala Lumpur Mac Depan

CHEN (EXO) Bakal Mengadakan Konsert Solo Di Kuala Lumpur Mac Depan

Vokalis utama kumpulan K-pop terkemuka EXO, CHEN, bakal mengadakan konsert solo pertamanya di Malaysia menerusi siri jelajah dunia “Arcadia” yang dijadualkan berlangsung di ZEPP Kuala Lumpur pada 29 Mac depan.

Kuala Lumpur dipilih sebagai destinasi penutup bagi siri jelajah global 2026 beliau selepas singgah di beberapa bandar utama Asia termasuk Taipei, Yokohama, Jakarta, Manila dan Macau.

Penganjur konsert dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa persembahan itu akan mengetengahkan kekuatan vokal bertaraf dunia CHEN melalui gabungan lagu-lagu balada ikonik dan lagu runut bunyi (OST) drama popular seperti Beautiful Goodbye serta Best Luck.

Ketua Pegawai Operasi pasukan penganjur, Hans Kim berkata konsert tersebut direka khusus untuk memberikan pengalaman yang imersif melalui penggunaan visual LED sinematik dan sistem akustik yang berkualiti tinggi bagi memastikan hubungan emosi yang lebih dekat antara artis dan peminat.

“Kami amat teruja untuk membawakan jelajah Arcadia ini ke Kuala Lumpur. Ia bukan sekadar sebuah konsert, malah merupakan satu perjalanan seni yang menggabungkan produksi bertaraf dunia dengan penceritaan emosi yang mendalam,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, konsert berkenaan ditawarkan secara eksklusif dengan kapasiti terhad kepada 2,000 penonton bagi mewujudkan suasana persembahan yang lebih intim.

Sebagai nilai tambah, semua pemegang tiket layak menikmati manfaat ‘Miracle Fan’ yang merangkumi sesi swafoto satu lawan satu bersama penyanyi itu selepas tamat persembahan, manakala pemegang tiket kategori VIP akan diberikan akses kepada sesi latihan vokal (sound check).

Jualan tiket yang bermula sejak 23 Disember lalu melalui platform Ticket2U dilaporkan telah mencecah 50 peratus setakat ini. Tiket bagi konsert yang bermula pada jam 4 petang itu dijual pada harga antara RM398 hingga RM798.

CHEN atau nama sebenarnya Kim Jong-dae, memulakan kerjaya seni pada 2012 dan diiktiraf sebagai antara solois lelaki paling berpengaruh dalam industri muzik Korea Selatan menerusi kejayaan beberapa album solo termasuk April, and a Flower dan Dear My Dear.

Komen
Loading...