COVID-19: Tiga Kes Positif Dari Kluster Rumah Penjagaan Warga Emas Dikesan
- oleh Samad Mohd
- 5 tahuns lalu
Kementerian Kesihatan mengesahkan satu kluster baharu dikenal pasti sebagai kluster rumah penjagaan warga emas di Kuala Selangor yang sudah menjangkiti tiga individu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata dua kes dikenal pasti pada 17 Mei lalu hasil saringan pusat penjagaan warga emas.
Sehingga kini, katanya, seramai 12 kakitangan dan 26 penghuni rumah berkenaan sudah disaring dan semua kakitangan serta 24 penghuninya mendapat keputusan negatif.
“Setelah hampir sebulan, kes ketiga didapati positif COVID-19 daripada saringan dalam kalangan pesakit Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) dan kini dimasukkan ke Hospital Tanjung Karang pada 13 Jun lalu,” katanya dalam sidang media harian COVID-19 di sini, hari ini.
Manakala 41 kes baharu dikesan merangkumi 3 import, 38 penularan tempatan libatkan enam warganegara, 32 bukan warganegara.
14 kes dilaporkan di Akademi Imigresen Malaysia, Port Dickson di mana kes-kes adalah merupakan Orang Kena Tahan (OKT) yang dipindahkan ke sana daripada Depot Tahanan Imigresen.