‘Dengan Pas RM50, Boleh Jalan Sampai Muntah’ – Gadis Indonesia Kagum dengan Pengangkutan Awam Malaysia yang Hebat
- oleh Samad Mohd
- 3 bulan lalu
Rakyat Malaysia sangat bertuah kerana dapat hidup di negara yang banyak menyediakan kemudahan awam.
Baru-baru ini, seorang warganet dari Indonesia berkongsi perasaan kagum terhadap rakyat Malaysia yang beruntung dapat menggunakan pengangkutan awam yang mudah dan murah.
Menurutnya, dia tidak mendapat keistimewaan yang sama di negaranya sendiri.
“Apabila berpindah ke Malaysia dan menyedari semua warga Malaysia berhak menggunakan pengangkutan awam dengan harga yang sangat berpatutan. Malah, boleh membeli pas bulanan yang hanya berharga RM50.
“Detik itu juga saya sedar negara saya tidak memberikan perhatian yang sama dalam menguruskan kemudahan untuk rakyatnya,” ujar Alivia Awin.
Tambahnya lagi, perkara ini membuatkan dirinya sedar bahawa kerajaannya tidak pandai menguruskan negara kerana Rapid KL menawarkan pas harian untuk pelancong dan warga asing.
“RM10 sudah boleh membawa anda pusing satu Kuala Lumpur sepanjang hari sampai muntah.
“Jika ditukarkan kepada mata wang Indonesia, ia berjumlah 35,000 rupiah. Di Jakarta, jumlah itu hanya cukup-cukup untuk pergi ke tempat kerja sahaja,” luah gadis Indonesia itu lagi.
Menjengah maklum balas daripada warganet lain, ada rakyat Indonesia yang mengakui tidak perlu membeli kereta di Malaysia kerana akses pengangkutan awam yang baik di negara ini — bahkan dia merasakan RM100 dalam kad TNG tidak habis dipakai dalam masa sebulan.