Ikuti Kami:

Dewa 19, Padi Reborn Cipta Sejarah Satu Pentas di Axiata Arena Jun Ini

Dewa 19, Padi Reborn Cipta Sejarah Satu Pentas di Axiata Arena Jun Ini

Industri hiburan tanah air bakal menyaksikan satu detik bersejarah apabila dua gergasi muzik Indonesia, Dewa 19 dan Padi Reborn, dijadualkan berkongsi satu pentas dalam konsert berskala besar di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 6 Jun 2026.

Konsert yang diberi judul Dewa 19 – Cintaku Tertinggal di Malaysia itu bukan sekadar persembahan biasa, malah ia merupakan julung kali penganjur Icon Entertainment berjaya menyatukan dua kumpulan legenda ini dalam satu acara yang sama di Malaysia.

Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang berkata, pemilihan nama konsert itu melambangkan hubungan emosi yang mendalam antara Dewa 19 dengan peminat setia mereka atau ‘Baladewa’ di negara ini.

“Malaysia mempunyai tempat yang sangat istimewa di hati Dewa 19. Ada cinta yang sentiasa tertinggal di sini sejak mereka mula menembusi pasaran tempatan.

“Selepas perbincangan, kami sepakat untuk membawa pengisian yang lebih bermakna dengan menghadirkan Padi Reborn sebagai tetamu istimewa bagi melengkapkan malam penuh kasmaran itu,” katanya.

Sementara itu, pengasas Dewa 19, Ahmad Dhani, dalam sidang media di Jakarta baru-baru ini memberi bayangan akan wujud elemen kejutan melibatkan pertukaran lagu antara kedua-dua band tersebut.

Dhani menyatakan minatnya untuk memberikan penceritaan muzik yang berbeza menerusi interpretasi tersendiri terhadap karya-karya popular Padi Reborn seperti Sesuatu Yang Indah.

“Saya punya idea untuk Dewa 19 memainkan lagu Padi, manakala Padi pula membawakan lagu Dewa 19. Pasti ada sesuatu yang lebih indah akan dihasilkan nanti.

“Supaya ia tidak menjadi konsert yang biasa, harus ada kolaborasi. Saya bayangkan gitaris Piyu (Padi) bermain untuk Dewa, manakala Andra pula bermain untuk Padi. Pasti solo gitar mereka lebih hebat,” ujarnya.

Konsert pada 6 Jun itu akan membariskan barisan pemuzik terbaik termasuk Andra Ramadhan, Yuke Sampurna dan Agung Yudha. Dewa 19 juga akan tampil dengan tiga vokalis utama mereka iaitu Ari Lasso, Virzha dan Marcello Tahitoe (Ello) selain kehadiran pemain dram asal, Tyo Nugros.

Manakala Padi Reborn dijangka memukau penonton dengan rangkaian hits malar segar mereka seperti Kasih Tak Sampai, Begitu Indah dan Menanti Sebuah Jawaban.

Peminat digalakkan untuk hadir dengan menggayakan T-Shirt Band Original bagi menunjukkan sisi sejati sebagai peminat tegar kedua-dua kumpulan tersebut.

Harga tiket bermula RM236 hingga RM488 dan akan mula dijual pada Jumaat, 27 Februari 2026, jam 11 pagi menerusi laman web www.ticket2u.com.my/Dewa19.

Komen
Loading...