Ikuti Kami:

DMS Gold lancar Program Simpan & Pandu, Akses EV tanpa hutang buat rakyat Malaysia

DMS Gold lancar Program Simpan & Pandu, Akses EV tanpa hutang buat rakyat Malaysia

Pelancaran Program Simpan & Pandu serta pembukaan kedai emas di Wangsa Maju.

DMS Gold bersama rakan strategiknya DMS Motors dan Koperasi Usaha Maju Berhad (KOMAJU) memperkenalkan satu pendekatan baharu dalam mobiliti dan simpanan kekayaan menerusi Program Simpan & Pandu yang unik di Malaysia.

Inisiatif ini membuka peluang kepada rakyat Malaysia untuk menggunakan kenderaan elektrik (EV) tanpa sebarang bayaran ansuran bulanan atau hutang bank, satu konsep yang jarang dilihat dalam pasaran automotif tempatan.

Pengarah DMS Motors, Datuk Mohd Ali Majis berkata, program ini bukan sekadar memberi akses kepada EV, tetapi juga membina tabiat simpanan emas yang berdisiplin dalam kalangan peserta.

“Ini adalah langkah pertama di negara ini di mana kita menggabungkan simpanan emas dengan peluang untuk memandu EV tanpa kos bulanan. Kita mahu masyarakat bukan sahaja bergerak ke arah mobiliti hijau, tetapi juga membina aset bernilai masa depan,” katanya pada majlis pelancaran di Wangsa Maju pada Jumaat.

Turut hadir Penasihat Syariah Kumpulan DMS, Ustaz Asyraf Suarin, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) DMS Motors, Datuk Salim Rahman, Pengerusi KOMAJU, M Nasir Ramli dan Penasihat Korporat Kumpulan DMS, Datuk Dave


M Nasir (tengah) menyerahkan replika kunci kepada penerima pertama EV Neta X kepada Abdul Rahman Osali menerusi Program Simpan & Pandu di Kuala Lumpur semalam. Turut kelihatan Salim (kanan).

Mohd Ali menjelaskan bahawa Program Simpan & Pandu beroperasi berdasarkan tahap simpanan emas peserta — semakin tinggi simpanan, semakin berpeluang untuk layak menggunakan model EV yang lebih canggih dalam program itu.

“Peserta yang menyimpan 50 gram emas layak mendapatkan model EV kompak, manakala 100 gram simpanan memberi akses kepada model SUV elektrik yang lebih besar dan selesa,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ustaz Asyraf menegaskan bahawa program berkenaan adalah patuh syariah serta bebas daripada unsur riba yang biasanya hadir dalam pembiayaan konvensional.

“Dari perspektif syariah, simpanan emas yang digunakan dalam program ini membebaskan peserta dari beban riba kerana simpanan adalah aset sebenar yang bernilai dan selari dengan prinsip kewangan Islam,” katanya.

Beliau menambah bahawa pendekatan seperti ini dapat membantu pengguna mengurus kewangan secara lebih bertanggungjawab tanpa tekanan hutang jangka panjang yang sering dikaitkan dengan pembelian kenderaan konvensional.

Sementara itu, Salim Rahman turut menekankan nilai tambah simpanan emas sebagai satu bentuk aset bernilai jangka panjang yang bukan sahaja memberi peluang penggunaan EV, tetapi juga potensi pertumbuhan nilai simpanan peserta.

“Emas bukan sahaja aset yang kukuh, ia juga memberi peserta pilihan pada masa depan — sama ada untuk menaik taraf kepada model baharu atau menebus semula simpanan emas mereka selepas tempoh tertentu,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya turut bercadang membuka cawangan kedai emas DM ke seluruh negara bagi memberi peluang kepada lebih ramai rakyat Malaysia menikmati manfaat program tersebut.

Majlis pelancaran turut menyaksikan penyerahan kunci kenderaan elektrik kepada beberapa peserta awal program, menandakan pelaksanaan fasa pertama yang berjaya, serta perancangan untuk memperluas program ini ke negeri lain pada masa akan datang.

Komen
Loading...