DPDDM, ANGKASA Jalin Kerjasama Strategik Teroka Pelaburan Hartanah dan Logistik
- oleh Gerbang Daily
- 20 Dec 2025 7:02 pm
Dewan Perniagaan Datuk-Datuk Malaysia (DPDDM) memulakan langkah strategik dalam memacu ekonomi rakyat melalui kolaborasi bersama Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) yang melibatkan jaringan lebih 16,000 koperasi di seluruh negara.
Langkah itu dizahirkan melalui lawatan kerja rasmi delegasi DPDDM ke ibu pejabat ANGKASA yang disambut oleh Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah.
Presiden DPDDM, Dato’ Nor Hasnal Hashmi, berkata pertemuan itu menandakan kesediaan sektor korporat untuk bekerjasama secara inklusif dengan sektor koperasi, selaras dengan usaha kerajaan memantapkan rangkaian ekonomi di bawah agenda Ekonomi MADANI.
“DPDDM komited untuk menjadi jambatan yang menghubungkan kepakaran korporat dan sumber kewangan dengan jaringan luas koperasi di bawah ANGKASA.
“Kami bersedia menjadi rakan strategik utama ANGKASA dalam mempertingkat kapasiti usahawan serta membantu memperluas jaringan perniagaan koperasi ke peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pertemuan selama dua jam itu, kedua-dua pihak bersetuju untuk mengkaji peluang pelaburan bersama dalam bidang kritikal yang mempunyai impak besar kepada pembangunan negara. Ini termasuklah:
– Pembangunan Hartanah: Melibatkan projek perumahan dan pembinaan.
– Sektor Logistik: Memanfaatkan jaringan luas koperasi bagi pengedaran barang.
– Pembiayaan Alternatif: Menyediakan ruang kewangan baharu melalui sistem koperasi.
-Transformasi Digital: Mempercepatkan penggunaan teknologi dan inovasi dalam kalangan usahawan Bumiputera dan PMKS.
Nor Hasnal menegaskan bahawa setiap model kerjasama pada masa hadapan akan berteraskan tadbir urus yang kukuh (Good Governance) seiring dengan gesaan Perdana Menteri mengenai integriti dan ketelusan.
“Setiap projek yang dicadangkan akan mengutamakan ‘value creation’ (penciptaan nilai) berbanding ‘value extraction’ (pengeluaran nilai) bagi memastikan manfaat ekonomi mengalir kembali kepada ahli koperasi dan masyarakat secara keseluruhan,” jelas beliau.
Delegasi DPDDM turut disertai kepimpinan utama termasuk Haji Abdul Rahman Kadi, Datuk Mohd Yusmar Omar, Dato’ Seri Sharizal Sarip, serta barisan ahli jawatankuasa yang lain.
Kerjasama ini dijangka menjadi pemangkin kepada pengukuhan ekosistem ekonomi rakyat yang lebih progresif dan berimpak tinggi di Malaysia.




