Ikuti Kami:

DPDDM Rakam Tahniah Atas Pelantikan Ahmad Nazib Sebagai Setiausaha Politik Menteri

DPDDM Rakam Tahniah Atas Pelantikan Ahmad Nazib Sebagai Setiausaha Politik Menteri

Dewan Perniagaan Datuk Dato’ Malaysia (DPDDM) merakamkan ucapan tahniah kepada Ahmad Nazib Johari atas pelantikan beliau sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), berkuat kuasa 21 Jan lalu.

Presiden DPDDM Dato’ Nor Hasnal Hashmi berkata pelantikan tersebut merupakan manifestasi kepercayaan serta pengiktirafan kepimpinan tertinggi negara terhadap kewibawaan, integriti dan kepakaran Ahmad Nazib dalam bidang pentadbiran serta perundangan.

Beliau berkata Ahmad Nazib yang juga merupakan Penasihat Undang-Undang DPDDM, telah menyumbang khidmat nasihat strategik dan pandangan perundangan berimpak tinggi kepada organisasi berkenaan sebelum ini.

“DPDDM merupakan ‘laluan jabatan emas’ kepada agensi-agensi kerajaan, berperanan sebagai platform strategik yang melahirkan tokoh berwibawa, profesional berintegriti serta kepimpinan berkaliber tinggi untuk berkhidmat kepada negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Nor Hasnal memaklumkan DPDDM kini sedang merangka pelbagai program bagi menjalin kerjasama dengan universiti tempatan dan badan kerajaan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurutnya, DPDDM juga merancang mengadakan kunjungan hormat ke Istana Raja Perak dan Negeri Sembilan, selain lawatan kerja rasmi ke pejabat Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak bagi mengukuhkan hubungan strategik dengan kepimpinan negeri.

“Diharap melalui lawatan ini dapat mengeratkan lagi hubungan dua hala DPDDM dengan kerajaan negeri, sekali gus membuka ruang kepada agenda kerjasama yang lebih strategik dan mampan pada masa hadapan,” katanya.

Beliau menambah bahawa langkah itu selaras dengan peranan DPDDM sebagai pemudah cara utama dalam ekosistem perniagaan negara bagi memastikan visi ahli bergerak seiring dengan keperluan pembangunan negeri.

“Kami sentiasa komited menjadi jambatan yang menghubungkan peluang ekonomi dengan aspirasi negeri secara berkesan,” katanya.

Komen
Loading...