DPDDM Teraju Inisiatif Tutup Jurang Maklumat Keusahawanan Belia Borneo
- oleh Gerbang Daily
- 11 Feb 2026 10:22 pm
Dewan Perniagaan Datuk Dato Malaysia (DPDDM) kini menerajui langkah proaktif bagi merapatkan jurang maklumat keusahawanan dan kerjaya dalam kalangan belia Sabah dan Sarawak, khususnya membabitkan mahasiswa di universiti awam.
Inisiatif itu digerakkan melalui jalinan kerjasama strategik bersama Koperasi Niaga Dinamik Berhad (KNDB) bagi memastikan golongan muda di Borneo tidak ketinggalan dalam merebut peluang ekonomi yang ditawarkan di peringkat nasional mahupun negeri.
Presiden DPDDM, Datuk Nor Hasnal berkata, pihaknya komited menjadi ‘jambatan emas’ yang menghubungkan ekosistem perniagaan negara dengan aspirasi generasi muda Sabah dan Sarawak.
“Kami mahu menangani isu jurang maklumat terutama dalam bidang keusahawanan, model perniagaan koperasi, serta peluang ekonomi strategik yang mungkin belum diterokai sepenuhnya oleh mahasiswa pasca graduasi.
“Langkah ini penting bagi memastikan hala tuju pembangunan belia Borneo bergerak seiring dengan keperluan ekonomi semasa dan aspirasi wilayah masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, beliau mengetuai delegasi DPDDM dan KNDB mengadakan lawatan kerja rasmi ke Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah & Sarawak) bagi membincangkan cadangan pemerkasaan pembangunan mahasiswa dari kedua-dua negeri berkenaan.
Hadir sama menyambut delegasi tersebut ialah Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah & Sarawak), Ahmad Nazib Johari.
Nor Hasnal menjelaskan, antara pengisian utama yang dicadangkan adalah pemerkasaan literasi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) untuk memberi kefahaman lebih mendalam kepada mahasiswa mengenai hak dan peranan mereka dalam kerangka integrasi nasional.
Sebagai kemuncak kepada kerjasama ini, DPDDM dan KNDB merancang untuk menganjurkan ‘Borneo Dynamic Entrepreneur & Leadership Summit 2026’.
Sidang kemuncak tersebut bakal menjadi platform berimpak tinggi yang menggabungkan elemen literasi dasar wilayah, kepimpinan belia, serta dialog dua hala antara mahasiswa dengan kepimpinan Kerajaan Persekutuan dan Negeri.
“DPDDM bukan sekadar badan perniagaan, malah berfungsi sebagai platform pemerkasaan intelektual. Kami mahu melahirkan generasi pemimpin dan usahawan muda Borneo yang mempunyai pemikiran strategik serta berdaya saing global,” tambah beliau.
Orang ramai yang berminat untuk menyertai rangkaian DPDDM dalam memperkasakan agenda Malaysia Madani boleh melayari laman web rasmi di https://dpddm-gov.com/ untuk maklumat lanjut.




