Ikuti Kami:

Dua Generasi, Satu Pentas: Ziana, Anuar, Ernie & Syamel Bersatu Dalam Empat 2025

Dua Generasi, Satu Pentas: Ziana, Anuar, Ernie & Syamel Bersatu Dalam Empat 2025

Buat julung kalinya dalam sejarah muzik tempatan, dua generasi artis ternama tanah air bakal berkongsi pentas dalam konsert yang dijangka mencipta detik bersejarah – Empat Live In Kuala Lumpur 2025 – yang akan berlangsung pada 18 Oktober ini di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.

Empat nama besar – Ziana Zain, Anuar Zain, Ernie Zakri dan Syamel – bersatu dalam satu produksi eksklusif yang menjanjikan gabungan vokal luar biasa, nostalgia dan keunikan hubungan kekeluargaan yang jarang disaksikan dalam industri hiburan tanah air.

Konsert yang dianjurkan oleh Anuar Zain Network dengan kerjasama Altus ProHouse ini menyatukan adik-beradik legenda, Ziana dan Anuar Zain, bersama anak saudara mereka, Ernie Zakri serta suaminya yang juga penyanyi berbakat besar, Syamel.

“Tidak pernah terlintas bahawa saya, kakak saya Ziana, anak buah kami Ernie dan suaminya Syamel akan berdiri bersama atas satu pentas. Konsert ini adalah hadiah kepada peminat yang selama ini menyokong kami,” ujar Anuar Zain dalam nada penuh syukur ketika ditemui pada majlis sidang media pelancaran konsert tersebut.

Ziana pula menyifatkan kolaborasi ini sebagai peristiwa istimewa buat peminat yang sentiasa memberi sokongan tidak berbelah bahagi sejak awal penglibatannya dalam dunia seni.

“Saya tak mahu berjanji bulan dan bintang, tetapi saya percaya momen ini akan jadi kenangan manis buat semua. Peminat bukan sahaja hadir menyokong artis kegemaran mereka, tetapi turut meraikan warisan muzik keluarga,” katanya.

Ernie Zakri yang terkenal dengan vokal mantap dan pencapaian seni yang mengagumkan, tidak dapat menyembunyikan emosinya apabila dilamar untuk bersama dalam konsert ini.

“Saya menangis apabila mendapat pelawaan untuk menyertai Empat. Sejak kecil, saya mengagumi perjalanan seni ibu dan bapa saudara saya. Kini saya berdiri di pentas yang sama bersama mereka. Ia satu penghormatan yang sukar digambarkan,” kata Ernie.

Bagi Syamel, penyanyi versatil yang sering mencuri tumpuan menerusi persembahan berenergi, peluang ini dianggap sebagai pengiktirafan besar dalam karier seninya.

“Saya anggap ini satu lonjakan kerjaya dan impian yang menjadi nyata. Gabungan kami berempat bukan sekadar persembahan biasa, ia adalah pertembungan gaya, pengalaman dan semangat muzik yang tak ternilai,” ujarnya.

Konsert ini dikemudi oleh pengarah konsert tersohor Jennifer Thompson, manakala pengarah muzik berpengalaman, Sze Wan, akan menerajui susunan muzik yang bakal menggamit emosi dan memori penonton.

Menurut Jennifer, konsert ini tidak hanya menonjolkan kekuatan vokal, malah menyampaikan nilai sentimental yang mendalam.

“Empat adalah lebih daripada konsert biasa. Ia adalah kisah tentang cinta, keluarga dan muzik yang menghubungkan generasi. Ini momen yang peminat tak boleh lepaskan,” katanya.

Tiket konsert mula dijual pada 25 April 2025 jam 10.00 pagi menerusi laman web https://www.ticket2u.com.my/empatkl. Harga bermula dari RM288 hingga RM2,088, termasuk kategori eksklusif seperti VIP dan Royal Twin Seat. Tiket untuk golongan kelainan upaya (OKU) juga boleh didapati melalui talian khas di +6011-1190 0518.

Konsert Empat Live In Kuala Lumpur 2025 bukan sekadar persembahan muzikal, tetapi lambang eratnya hubungan kekeluargaan yang terpahat dalam sejarah muzik Malaysia – sebuah persembahan dari hati, buat para peminat yang setia menyokong seni anak tempatan.

Komen
Loading...