
Konsert ELITE LIVE ’25 yang berlangsung pada 20 September 2025 di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) mengukir sejarah tersendiri apabila ribuan peminat hadir memenuhi dewan bagi menyaksikan kemunculan semula kumpulan wanita ikonik era 90-an itu.
Konsert berskala besar pertama ELITE selepas lebih dua dekad menyepi menjadi malam penuh emosi, di mana Linda Rafar, Sasha Saidin, Watie Sadali, Abby Abadi dan Azza tampil memukau dengan persembahan hampir tiga jam.
Aura yang pernah mencetus fenomena muzik pop Malaysia sejak 1996 kembali menyerlah menerusi rangkaian lagu popular mereka.
Antara lagu yang dipersembahkan termasuk Ladiva, Merbahaya, Aku Siapa Kau Siapa, Mengerti dan Sesuatu Dalam Dirimu pada pembukaan konsert.
Suasana semakin hangat apabila segmen kedua menampilkan Dua Hati dan Bila, selain duet bersama Alpha menerusi lagu Di Pintu Syurga sebelum kumpulan itu turut mempersembahkan Monalisa (Bang Bang) dan lagu P Ramlee Saloma.
Segmen ketiga pula memeriahkan pentas dengan medley Catwalk, Dirinya Dirimu Diriku dan Susah Jadi Senang sebelum X-Factor tampil bersama ELITE menerusi lagu Bertuah.
X-Factor turut mempersembahkan lagu popular mereka 7251364, sementara ELITE mengusik nostalgia dengan Alhamdulillah, Trauma dan G.I.G..
Sorakan peminat tidak berhenti apabila ELITE kembali untuk encore, menutup malam dengan dua lagu ikonik mereka iaitu Tamparan Wanita dan Manisnya Senyumanmu yang dinyanyikan bersama-sama penonton.
ELITE LIVE ’25 bukan sahaja mengimbau nostalgia silam, malah menjadi perayaan warisan muzik pop Malaysia serta membuka babak baharu buat kumpulan wanita paling berpengaruh dalam industri hiburan tanah air.