Empat Suara, Satu Jiwa, Satu Keluarga, Ziana, Anuar, Ernie dan Syamel Hangatkan Mega Star Arena
- oleh Atie
- 19 Oct 2025 9:40 pm
Malam penuh emosi dan kehangatan terserlah apabila empat penyanyi tersohor tanah air, Ziana Zain, Anuar Zain, Ernie Zakri dan Syamel, bergabung tenaga dalam konsert Empat Live In Kuala Lumpur 2025 yang berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur, malam tadi.
Konsert anjuran Anuar Zain Network dengan kerjasama Altus Prohouse itu mencipta sejarah tersendiri apabila menggabungkan dua generasi penyanyi hebat dalam satu pentas, menjadikan ia antara konsert keluarga pertama seumpamanya di Malaysia.
Selama hampir tiga jam, konsert tersebut menyajikan 21 lagu termasuk beberapa medley yang disusun semula dengan nafas baharu di bawah sentuhan pengarah muzik berpengalaman, Lee Sze Wan, manakala Jennifer Thompson bertindak sebagai pengarah konsert.
Persembahan dibuka dengan gabungan lagu Ku Bersuara, Lebih Sempurna, Madah Berhelah dan Keabadian Cinta, sebelum diteruskan dengan rangkaian lagu seperti Aura, Dingin, Aku Cinta, Hamba Cinta dan Beribu Tanda Tanya yang memperlihatkan keserasian vokal keempat-empat penyanyi di atas pentas.
Malam bersejarah itu turut menyentuh hati penonton menerusi lagu Sedetik Lebih, Sesucinya Cintamu, Jangan Marah dan medley Kau Pun Sama, Sangkar Cinta, Kau Bunga Cintaku serta Boneka, yang membangkitkan sorakan dan tepukan gemuruh daripada penonton.
Persembahan diteruskan dengan lagu-lagu penuh emosi seperti Perpisahan, Cinta Harus Memiliki, Riwayat Cinta, Anggapanmu, Masing-Masing dan Lelaki Ini, sebelum tirai malam ditutup dengan lagu Jangan Henti sebagai simbol kekuatan dan perpaduan Empat.
Lebih 4,500 penonton hadir bagi menyaksikan persembahan penuh harmoni dan kasih sayang yang menjadi manifestasi semangat kekeluargaan serta kecintaan terhadap seni muzik tempatan.
Foto: ANUAR ZAIN NETWORK.




