Ikuti Kami:

Filem ‘Azimat’ Kupas Kesan Psikologi Kepercayaan Mistik, Inspirasi Kisah Nyata Masyarakat

Filem ‘Azimat’ Kupas Kesan Psikologi Kepercayaan Mistik, Inspirasi Kisah Nyata Masyarakat

Syarikat produksi Faradale Media-M Sdn Bhd dari Sarawak tampil dengan kelainan menerusi filem seram psikologi terbaharu mereka, Azimat, yang bukan sahaja menguji keberanian penonton, malah turut mengupas kesan psikologi dan konflik jiwa manusia terhadap kepercayaan mistik.

Penerbitnya, Kay Rezza Karim, berkata keunikan Azimat terletak pada gabungan elemen mistik tempatan dan pergolakan emosi manusia yang jarang diketengahkan dalam naskhah seram lain.

“Idea menghasilkan Azimat tercetus pada tahun 2019 hasil perbincangan kami yang tertarik dengan persoalan bagaimana kepercayaan, trauma, dan nasib boleh saling berkaitan dalam kehidupan manusia.

“Kami cuba menghasilkan sebuah cerita seram yang bukan sekadar menakutkan, tetapi juga mencerminkan sisi emosi dan konflik jiwa seseorang yang berada di ambang putus asa,” jelasnya.

Azimat mengisahkan Hanna, seorang gadis yang berdepan trauma masa silam dan dugaan hidup, lantas berjumpa dengan seorang bomoh Iban yang memberikannya seutas rantai azimat.

Rantai itu diyakini mampu mengubah nasib malang dirinya, namun di sebalik ‘tuah’ tersebut, tersembunyi kegelapan yang perlahan-lahan menguasai jiwanya.

Kay Rezza, yang turut berperanan sebagai pengarah, menegaskan biarpun jalan cerita itu rekaan, ia diinspirasikan daripada kisah-kisah nyata yang sering berlaku dalam masyarakat.

“Harapan saya, Azimat dapat menyentuh hati penonton, bukan sahaja melalui rasa takut, tetapi melalui mesej tentang harapan, pilihan, dan akibat daripada keputusan yang kita ambil dalam hidup,” ujarnya.

Filem yang membariskan pelakon anak jati Sarawak termasuk Dee Dee Aine Peter, Heidi Abyana, Fadzril Afandy dan Rushdi Mornie Daud ini bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 27 November 2025.

Komen
Loading...