Gabungan Ikonik Ezad & Zamani Gegar Mega Star Arena Julai Ini
- oleh Gerbang Daily
- 2 minggu lalu

Dua figura tersohor dunia muzik tempatan, Ezad Lazim dari kumpulan Exists dan Zamani Ibrahim dari kumpulan Slam, bakal bergabung buat julung kalinya dalam sebuah konsert mega yang dijangka menggamit ribuan peminat era 90-an.
Konsert yang diberi nama “Slam X Exists – Our Journey” itu dijadualkan berlangsung pada 26 Julai 2025 di Mega Star Arena, Kuala Lumpur, dan dijangka menjadi antara persembahan paling dinanti-nantikan tahun ini.
Ezad dan Zamani, yang masing-masing memiliki suara unik dan penuh emosi, pernah menjadi nadi kepada kebangkitan muzik pop rock Malaysia pada era 90-an. Kini, mereka bersatu di atas satu pentas dalam sebuah konsert eksklusif yang menjanjikan pengalaman sarat nostalgia dan kenangan.
Menurut penganjur utama, Shah Nizam Abdul Halim yang juga pengasas SS Karya Venture, gabungan dua ikon ini bukan sekadar persembahan muzik, malah simbol kepada keteguhan seni muzik tanah air yang merentasi generasi.
“Gabungan Ezad dan Zamani bukan hanya sekadar dua penyanyi legenda. Mereka adalah suara kepada emosi, memori dan kehidupan ramai rakyat Malaysia. Konsert ini adalah penghargaan kepada para peminat yang membesar bersama lagu-lagu mereka,” katanya pada sidang media konsert berkenaan baru-baru ini.
Antara lagu-lagu ikonik yang bakal mengisi malam penuh emosi itu termasuklah Julia, Jesnita, Gerimis Mengundang, Rindiani, Mentari Muncul Lagi dan Langkah Seiringan. Malah, beberapa persembahan duet khas turut dirancang untuk memberi sentuhan eksklusif kepada peminat.
Selain susunan muzik baharu dan sentuhan visual moden, konsert ini akan diiringi oleh barisan pemuzik profesional bagi memastikan mutu persembahan mencapai standard tertinggi.
Tiket mula dijual sejak beberapa minggu lalu dan menerima sambutan luar biasa. Kategori tiket “Langkah Seiringan” habis dalam tempoh tiga hari, manakala kategori “Rindiani” turut hampir habis dalam tempoh seminggu.
Harga tiket bermula dari RM168 hingga RM3000 dengan pilihan VIP dan Grand VIP, sekali gus menggambarkan keterujaan luar biasa peminat terhadap gabungan dua bintang ini.
Bagi yang belum mendapatkan tiket, anda boleh melayari laman rasmi di www.ilassoTicket.com/slamexists untuk pembelian. Jangan lepaskan peluang menjadi sebahagian daripada malam penuh sejarah ini.
Foto Oleh: Papadin.