Ikuti Kami:

GenKRU The Finale One More Time: Konsert Kelima KRU

GenKRU The Finale One More Time: Konsert Kelima KRU

Kumpulan legenda KRU sekali lagi mencipta sejarah apabila bakal menganjurkan konsert kelima mereka dalam setahun, GenKRU The Finale One More Time, di Stadium Hoki Bukit Jalil pada 22 November 2025.

Konsert ini adalah kesinambungan daripada empat persembahan terdahulu di Axiata Arena Bukit Jalil, yang bukan sahaja mencatat full house, malah membolehkan KRU memenangi dua rekod dalam Malaysia Book of Records (MBR) iaitu Most Show in a Single Concert Series dan Most Concert Tickets Sold Out in an Hour.

Menurut Iman Tang, penganjur dari Icon Entertainment, keputusan untuk menganjurkan konsert kelima adalah hasil maklum balas peminat yang amat memberangsangkan.

“GenKRU The Finale One More Time akan diadakan di Stadium Hoki Bukit Jalil pada 22 November 2025. Selepas empat hari konsert sebelum ini, kami memilih untuk mengadakan finale ‘One More Time’ kerana permintaan peminat sangat tinggi. Sejak penganjuran pada bulan Mei, kami terus didesak membawa KRU kembali ke pentas,” katanya.

Iman menambah, trend penganjuran konsert berskala besar di Malaysia kini mengikuti gaya global, di mana acara boleh berlangsung lebih daripada satu hari.

“Trend ‘berhari-hari’ ini membuktikan industri hiburan tempatan berada pada tahap baik ada permintaan, dan penganjur dapat memenuhinya. GenKRU The Finale One More Time tercetus kerana permintaan yang tinggi,” katanya lagi.

Sementara itu, KRU menyifatkan konsert kelima ini sebagai inisiatif positif yang menunjukkan pemuzik tempatan mampu menjadi penggerak utama industri.

“Sejujurnya, kami tidak pernah terfikir akan ada hari kedua, ketiga, apatah lagi kelima. Namun, ia menunjukkan pemuzik tempatan tidak pernah menjadi anak tiri dalam penganjuran konsert. Kami mahu menjadi gamechangers kepada industri sendiri,” kata Norman, mewakili KRU.

Tiket dijual mulai 2 Oktober 2025, pukul 11 pagi melalui Ticket2U, dengan harga antara RM188 hingga RM558.

Komen
Loading...