Hans Isaac “Membantu Pekerja Belakang Tabir” Dengan Gaji Selama 13 Bulan Bersama FINAS
- oleh Samad Mohd
- 5 tahuns lalu
Mengakui tidak pernah mahukan apa-apa ketika menjawat jawatan pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) sebelum ini, Hans Isaac bertindak memulangkan kembali semua gaji dan elaun yang diterimanya.
Hans sebelum ini menjadi pengerusi FINAS selama 13 bulan apabila mula dilantik pada April tahun lalu sebelum ditamatkan kontrak pada Mei tahun ini.
Susulan daripada penamatan kontrak beliau bersama badan perfileman nasional itu, Hans dalam satu laporan yang terbit di Harian Metro, berkata kesemua imbuhan yang pernah diterimanya bersama mereka akan dipulangkan kembali sebagai bantuan kepada industri perfileman dan drama yang terjejas dengan situasi COVID-19 ketika ini.
“Jadi, sekarang apabila sudah tidak berada dalam agensi itu, saya akan pulangkan semua kepada industri dengan membantu golongan pekerja belakang tabir seperti jurukamera, runner, jurusolek dan sesiapa saja yang terbabit.
“Saya tahu ramai daripada mereka yang terjejas apabila penggambaran perlu diberhentikan. Jadi, kalau ada yang memerlukan boleh datang berjumpa saya dan saya juga akan cuba mencari mereka,” katanya kepada Harian Metro.
Walaupun laporan tersebut tidak menyatakan berapakah jumlah keseluruhan yang akan diberikan bagi membantu ahli-ahli industri perfileman dan drama ketika ini, namun imbuhan selama 13 bulan sudah pastinya bukan sedikit.
Mengulas mengenai penamatan kontraknya, Hans menjelaskan dia sudah pun dapat menjangkakan perkara itu dan tidak terasa hati kerana telah berpendapat telah melakukan yang terbaik sepanjang menerajui agensi itu.
“Seperkara saya nak cakap, inilah masalah yang berlaku di Finas. Kalau tukar kerajaan, pimpinan dalam agensi ini pun ditukar. Sampai bila pun masalah tak selesai dan pembaharuan sukar dicapai. Malah, ia kena mula dari awal semula. Sekurang-kurangnya habiskan kontrak jawatan itu dulu,” katanya.