“Ibu Bapa Zayn Rayyan Terima Tekanan Ketika Ditahan Reman & Diugut Untuk Mengaku Bersalah” – Peguam
- oleh Samad Mohd
- 3 bulan lalu
Peguam, Fahmi Abd. Moin yang mewakili Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf iaitu ibu bapa kepada kanak-kanak autisme Zayn Rayyan mendakwa anak guamnya diugut untuk mengaku bersalah.
Selain itu, pasangan itu juga turut didakwa menghadapi pelbagai tekanan dan manipulasi dalam usaha mendapatkan pengakuan bersalah mereka.
Tambahnya, mereka berdua telah membuat lap0ran polis pada 25 Julai lepas selepas dibebaskan berhubung ugutan diterima ketika ditahan reman dan sehingga kini masih menunggu laporan siasatan.
Laporan terhadap siapa, kami tidak boleh dedahkan di sini kerana ia akan didedahkan pada perbicaraan nanti. Cuma kami harap siasatan dibuat bagi memastikan perkara (yang didakwa) itu selain untuk membersihkan nama anak guam kami.
Hingga kini kedua-duanya tidak dipanggil oleh polis untuk memberi keterangan. Laporan telah dibuat dan mereka juga telah mendedahkan nama pihak-pihak yang terlibat dalam isu ini.
Menurut Fahmi, sebanyak tiga kertas siasatan telah dibuka masing-masing di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, Shah Alam dan Sungai Buloh namun hingga kini tiada maklumat yang diterima berkaitan perkembangan siasatan.
Untuk rekod, pasangan suami isteri berkenaan didakwa atas tuduhan mengabaikan kanak-kanak austisme itu di sekitar jalan PJU 10/1 Damansara Damai, antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam, 6 Disember 2023.
Mahkamah menetapkan perbicaraan kes ini berlangsung selama 15 hari, bermula tahun depan iaitu 20 hingga 24 Januari, 3 hingga 7 Februari dan 17 hingga 21 Februari.