Ikuti Kami:

INSKEN Sasar Latih 20,000 Usahawan Madani pada 2025: Usahawan Madani Ditegaskan Hayati 6 Rukun Keusahawanan

INSKEN Sasar Latih 20,000 Usahawan Madani pada 2025: Usahawan Madani Ditegaskan Hayati 6 Rukun Keusahawanan

Sdr Mustaffa Kamil Ayub, Pengerusi Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), dalam sesi khas bertajuk “Membina Minda Sukses Usahawan Madani” di Hotel Seri Malaysia, bersama 120 usahawan dan bakal usahawan, menggesa kerjasama semua pihak dalam usaha melahirkan lebih ramai usahawan Madani.

Menurut beliau, usahawan Madani merujuk kepada golongan yang mampu menghayati enam rukun Malaysia Madani dalam amalan keusahawanan mereka.

“Dengan ihsan, sebagai contoh, usahawan tersebut bersedia berkongsi rezeki dan rahsia kejayaan. Dengan ihsan juga, usahawan akan menjaga integriti dan mengelakkan rasuah. “

“Manakala daya cipta bermaksud kreativiti dan inovasi yang berterusan dalam tawarannya kepada pelanggan, diikuti dengan prinsip kemampanan, kesejahteraan, hormat, dan keyakinan,” jelas beliau.

Sdr Mustaffa turut memperkukuh hasrat Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, untuk melahirkan usahawan yang tahan lasak, kompetitif, dan berdaya juang tinggi.

Seiring dengan itu, beliau menekankan seruan YB Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Dato’ Ewon Benedict, yang menyasarkan 10,000 usahawan Madani dilatih pada tahun 2024 melalui INSKEN.

Beliau juga mengumumkan bahawa bajet INSKEN bagi tahun 2025 akan ditingkatkan, dengan jangkaan 20,000 usahawan Madani bakal dilatih, insya-Allah. Selain itu, program-program baru akan diperkenalkan, di samping meneruskan program latihan dan bimbingan sedia ada.

Sdr Mustaffa turut menekankan kewujudan lebih daripada 60 agensi di bawah Kerajaan Madani yang menyediakan ekosistem keusahawanan bagi membangunkan usahawan Madani. Dalam usaha memperkasa ekosistem ini, beliau mengalu-alukan penubuhan Konsortium Usahawan Madani (KUSMA).

Sesi khas ini dikendalikan oleh Komuniti Madani Kedah di bawah nasihat Dato’ Zamri Yusof, dengan sesi interaksi yang rancak dan menarik. Para peserta melahirkan rasa teruja dan mencadangkan supaya program susulan diadakan.

Menjawab permintaan tersebut, Sdr Mustaffa menyatakan bahawa program susulan seperti Seminar Asas Pengeluaran Produk dan Servis (SAPPS) yang melibatkan 300 orang peserta setiap siri akan dipergiatkan. Ia akan digerakkan bersama IPTA, NGO, dan pelbagai agensi. Program-program latihan dan bimbingan lain yang terbukti berkesan juga akan diteruskan.

Dalam lawatan kerja ke Kedah ini, Sdr Mustaffa turut meluangkan masa bersama Puan Mazlina, pemilik Ayam Bismi di Alor Setar, yang menyediakan 550 makanan tengah hari percuma setiap hari. Inisiatif ini dihargai oleh pelbagai lapisan masyarakat, tanpa mengira kaum.

Komen
Loading...