Ikuti Kami:

Isu Check In & Check Out Hotel: MOTAC Akan Adakan Mesyuarat Khas

Isu Check In & Check Out Hotel: MOTAC Akan Adakan Mesyuarat Khas

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan adakan mesyuarat khas untuk menangani isu yang semakin tular berkaitan waktu daftar masuk dan daftar keluar di hotel-hotel di Malaysia.

Isu ini telah menarik perhatian ramai di media sosial dan media massa, dengan orang ramai menyuarakan kebimbangan terhadap amalan dalam industri perhotelan.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Dato’ Sri Tiong King Sing, dalam satu kenyataan media pada 26 September 2024, memaklumkan bahawa beliau mengambil maklum tentang isu ini dan memahami kebimbangan yang disuarakan oleh pelbagai pihak.

“Saya telah mengarahkan Kementerian ini untuk segera mengatur satu mesyuarat bersama semua pihak yang berkepentingan, khususnya para pengusaha industri perhotelan, sebaik sahaja saya kembali ke Malaysia.

“Mesyuarat ini adalah bagi membincangkan isu ini secara menyeluruh dan memastikan satu penyelesaian yang adil serta tidak membebankan pelanggan dapat dicapai,” kata beliau.

Beliau juga menekankan kepentingan untuk memastikan bahawa kepentingan pengguna dan industri perhotelan dapat diseimbangkan.

“Keutamaan saya adalah untuk memastikan bahawa amalan dan polisi yang dilaksanakan oleh pihak hotel adalah selaras dengan kepentingan pengguna, sambil memastikan kelangsungan industri perhotelan yang berdaya saing dan mampan,” jelasnya.

Dato’ Sri Tiong memberi jaminan bahawa Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya akan mengambil tindakan segera dan berkesan dalam menangani isu ini.

Pandangan serta cadangan daripada semua pihak berkepentingan akan diambil kira dalam proses membuat keputusan, dengan matlamat untuk memastikan industri perhotelan di Malaysia terus kekal kompetitif dan mesra pelanggan.

Ketika ini, beliau sedang mewakili Malaysia dalam persidangan Pertubuhan Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWTO) dan akan segera kembali untuk menangani isu ini dengan sewajarnya.

Beliau juga merakamkan penghargaan atas kerjasama semua pihak dalam usaha mencari penyelesaian terbaik untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan sektor pelancongan negara.

Komen
Loading...