KUALA LUMPUR: Izz Imil Shahrom, kanak-kanak genius berusia 12 tahun yang kini melanjutkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Sains Matematik di Universiti Malaya (UM), ialah seorang yang periang, berbakat besar, dan sangat fasih dalam berkomunikasi.
Perkara ini dikongsikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, yang berkesempatan bertemu Izz ketika singgah di UM selepas menghadiri program ‘In Person with Doc Zam’ di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) petang Ahad.
Menurut Dr Zambry, pertemuan tersebut turut dihadiri oleh ibu bapa Izz dan Naib Canselor UM, Prof Datuk Seri Dr Noor Azuan Abu Osman.
“Izz Imil sama seperti anak-anak lain seusia dengannya. Berperwatakan ceria dan sangat petah berbicara.
“Ternyata minat beliau terhadap matematik sangat mendalam sehingga perbualan kami banyak berkisar tentang nombor,” katanya menerusi hantaran di Facebook, malam ahad.
Dr Zambry turut menjelaskan bahawa UM telah menjalankan proses temuduga oleh Jawatankuasa Khas sebelum Izz diterima, dan permohonan beliau juga telah diluluskan oleh Senat Universiti untuk menyambung pengajian di UM.
“Pihak universiti telah merangka beberapa perancangan khusus agar adik Izz Imil dapat belajar dalam suasana yang kondusif dan selesa.
“Sama-sama kita doakan adik Izz Imil dapat belajar dengan baik, menjadi pelajar cemerlang serta memberi sumbangan terbaik kepada masyarakat dan negara.
“Kepada adik Izz Imil, kita jumpa lagi nanti. Banyak lagi ‘game trick’ yang kita nak buat sama-sama nanti,” tambah beliau.
Terdahulu, UM dalam kenyataan mengesahkan bahawa Izz telah diterima masuk ke Fakulti Sains untuk mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains Matematik.