Jelajah Skor A+ PTTI Lonjak Keyakinan Murid Kudat Hadapi SPM
- oleh Gerbang Daily
- 1 Sep 2025 8:07 pm
Lebih 1,000 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari sembilan buah sekolah menengah sekitar daerah Kudat kini tampil lebih yakin menghadapi peperiksaan penting itu selepas menyertai Program Jelajah Skor A+ SPM anjuran PTTI Group Sdn. Bhd. dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Pejabat Pendidikan Daerah Kudat serta Kelab Nuri Bank Rakyat.
Program dua hari yang berlangsung di Dewan Hakka Kudat pada 11 dan 12 Ogos lalu itu memberi peluang kepada pelajar mengikuti sesi intensif subjek teras seperti Bahasa Melayu, Matematik, Sains dan Sejarah bersama tenaga pengajar berpengalaman PTTI.

Fokus utama program bukan sahaja berkisar kepada strategi menjawab soalan dan penguasaan formula rahsia peperiksaan, tetapi juga menekankan aspek motivasi serta membina keyakinan diri pelajar.
“PTTI komited membantu murid, khususnya calon SPM, agar mampu mencapai keputusan cemerlang. Kami mahu mereka masuk ke dewan peperiksaan dengan persediaan dan keyakinan terbaik,” kata Encik Eizlan Haikal Eusop, Eksekutif Kanan Komunikasi Strategik PTTI Group Sdn. Bhd.

Selain sesi akademik, Kelab Nuri Bank Rakyat turut menganjurkan slot literasi kewangan bagi membimbing pelajar mengurus wang secara bijak. Akaun Kelab Nuri juga dibuka untuk murid terpilih, di samping modul pembelajaran percuma diberikan sebagai rujukan.
Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Kudat (Sektor Pembelajaran), Tuan Hj. Sharif Zainal Abiddin bin Hj. Sharif Shek, berkata program ini berjaya meningkatkan semangat pelajar melalui sokongan bersama pihak swasta dan komuniti.

Sementara itu, Puan Azilla Nasarudin, Timbalan Presiden Deposit Bank Rakyat, menegaskan literasi kewangan perlu diterapkan seiring kecemerlangan akademik bagi melahirkan generasi muda yang seimbang.
Kejayaan Jelajah Skor A+ di Kudat ini sekali gus mengukuhkan reputasi PTTI sebagai pusat tuisyen yang konsisten melahirkan ramai pelajar memperoleh semua A dalam SPM.




