KDM Sasar 35 Kerusi DUN pada PRN17, Kekal Bergerak Solo – Peter Anthony
- oleh Samad Mohd
- 2 bulan lalu
PENAMPANG – Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) menyasarkan untuk bertanding di 35 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) akan datang.
Presiden KDM, Datuk Peter Anthony menegaskan bahawa kepimpinan parti kekal dengan keputusan untuk bergerak secara solo dalam menghadapi PRN tersebut. Menurut beliau, KDM akan memberi fokus kepada kawasan yang mempunyai majoriti masyarakat Kadazan, Dusun, dan Murut.
“Kami rasa kami akan bertanding di lebih 30 mungkin sehingga 35 kerusi, separuh daripada keseluruhan. Kesemua kerusi ini adalah di kawasan masyarakat Kadazan, Dusun, dan Murut (KDM),” katanya ketika ditemui dalam sidang akhbar di Pejabat KDM, di sini pada Rabu.
Memetik Sinar Harian, Peter turut menyatakan keyakinannya bahawa walaupun KDM dianggap sebagai parti kecil, mereka tetap akan berdiri sendiri tanpa perlu bergantung kepada parti besar seperti Pas atau Perikatan Nasional (PN).
“Biarlah kita parti kerdil untuk berdiri solo, bukan macam mereka punya parti, mereka ada Pas, ada Perikatan Nasional (PN). Kita solo, mana ada orang mahu parti macam kami ini, parti nyamuk ini,” katanya, merujuk kepada perbezaan strategi antara KDM dan parti-parti lain.
Peter Anthony mengakui bahawa setiap parti, termasuk KDM, mempunyai agenda tersendiri, namun keputusan untuk menjadi ‘king maker’ akan dibuat kemudian. Beliau juga menekankan kepentingan usaha keras di peringkat akar umbi bagi memastikan kejayaan KDM dalam PRN17.
Peter Anthony menegaskan pentingnya parti kecil seperti KDM untuk “mengubah naratif politik negeri ini,” yang mana beliau berharap PRN kali ini akan mencetuskan perubahan besar di Sabah.