‘Keluang Man’ Permulaan Astro Shaw Cinematic Universe, Cetus Fenomena Baharu Filem Adiwira Tempatan
- oleh Atie
- 4 minggu lalu

Filem adiwira tempatan yang paling dinantikan tahun ini, Keluang Man, bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 29 Mei ini, menandakan permulaan kepada ‘Astro Shaw Cinematic Universe’ yang bertujuan memperkasa karya sinematik tempatan ke tahap baharu.
Diterbitkan oleh Astro Shaw, filem ini membawa nafas baharu kepada dunia adiwira Malaysia dengan visual sinematik berkualiti tinggi dan jalan cerita moden yang sarat dengan aksi. Treler rasmi filem tersebut telah dilancarkan hari ini bersama poster rasmi dan pengumuman siri kolaborasi strategik pelbagai jenama tempatan, sebagai sebahagian daripada inisiatif promosi berskala besar.
Menurut Penerbit Eksekutif Keluang Man merangkap Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, Keluang Man bukan sekadar sebuah filem tetapi sebuah pengalaman penuh yang membawa legasi adiwira tempatan ke pelbagai platform.
“Kami teruja untuk memperkenalkan Keluang Man, adiwira ikonik Malaysia, kepada generasi baharu. Ini juga menjadi titik mula kepada ‘Astro Shaw Cinematic Universe’. Filem ini bukan hanya mengangkat karakter legenda, tetapi turut membuktikan kemampuan industri perfileman tempatan menghasilkan kandungan setanding produksi antarabangsa,” katanya.
Antara inisiatif promosi menarik yang diumumkan termasuklah:
Kerjasama bersama Wonda Kopi menerusi produk eksklusif Wonda Kopi Kluang yang tampil dalam pek edisi khas dengan lima watak dari dunia Keluang Man. Pelanggan berpeluang menebus barangan eksklusif seperti figura aksi, komik edisi terhad dan payung khas berdasarkan nilai pembelian di kedai terpilih.
- ‘Wonda-ful Keluang Man burger’, hasil kolaborasi bersama myBurgerLab, menampilkan burger bertemakan adiwira ini dengan roti berwarna maroon dan sos istimewa berasaskan Kopi Wonda.
- Larian ‘Keluang Man WONDA Fun Run’ akan diadakan pada 18 Mei di Menara DBKL, Kuala Lumpur. Peserta boleh bergaya ala Keluang Man dan 1,000 pendaftar terawal bakal menerima jersi eksklusif secara percuma.
- Koleksi Royal Selangor menampilkan figurin miniatur dan pin lapel edisi terhad dengan kemasan mewah, sebagai penghormatan kepada ikon rakyat Malaysia yang membanteras jenayah.
- Kasut FK Sneakers hasil kerjasama dengan Fung Keong serta jersi eksklusif oleh jenama lokal Abstrax, menambah variasi koleksi gaya hidup bertemakan Keluang Man.
Filem ini diterbitkan dengan kerjasama GSC, Idea River Run, dan Pasal Productions, serta rakan strategik Wonda Kopi. Ia diarahkan oleh Anwari Ashraf dan menampilkan barisan pelakon terkenal seperti Nas Muammar Zar, Dato’ Remy Ishak, Anwaar Beg Moghal, Datuk Rosyam Nor, Shweta Sekhon, Halim Othman, Amelia Henderson dan ramai lagi.
Sementara menanti tayangan rasmi, peminat boleh menonton semula siri animasi asal Keluang Man dari musim pertama hingga ketiga di laman rasmi www.keluangman.com.
Untuk maklumat lanjut dan kemas kini, ikuti Astro Shaw dan Astro Gempak di platform media sosial serta gunakan tanda pagar rasmi #KeluangMan dan #KeluangManMovie.