Kerajaan Kaji Semula Takrifan T15, Angka RM13,000 Dianggap Terlalu Rendah – PM Anwar
- oleh Samad Mohd
- 2 bulan lalu
Kerajaan sedang mempertimbangkan semula definisi kategori pendapatan T15 selepas mendapati kuantum sedia ada yang ditetapkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada RM13,000 adalah terlalu rendah, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Perdana Menteri, isu ini telah dibangkitkan oleh ahli Parlimen pembangkang, tetapi beliau menegaskan bahawa tiada kekeliruan dalam takrifan ini.
Perbincangan kini sedang dijalankan oleh beberapa kementerian termasuk Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta jabatan berkaitan untuk menaikkan kuantum T15 bagi memastikan ia tidak membebankan isi rumah.
“Kita mahu memastikan subsidi yang disasarkan hanya membayar kepada kumpulan B40, M40, dan sebahagian T20 yang pendapatannya agak rendah,” jelas Anwar ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat pada Selasa.
Menurut beliau, langkah ini diambil supaya definisi pendapatan tidak mengekang kehidupan harian golongan tersebut.
Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan sedang menilai kuantum tepat bagi T15 dalam penyasaran subsidi diesel, yang mana pendekatan ini turut digunakan dalam subsidi petrol RON95.
“Takrifan sedia ada oleh DOSM iaitu sekitar RM13,000 mungkin terlalu rendah. Oleh itu, cadangan kini adalah untuk menaikkannya agar lebih relevan,” tambahnya.
Kerajaan sedang mempertimbangkan untuk menaikkan kuantum ini kepada antara RM15,000 hingga RM20,000, dan keputusan akhir akan dibuat selepas mendapat persetujuan jemaah menteri.
“Ini sedang dibincangkan dan tiada percanggahan dalam pendirian kerajaan berkaitan isu ini,” katanya.
Soalan mengenai mekanisme subsidi bersasar dan takrifan pendapatan turut melibatkan perbincangan tentang cukai dividen dua peratus yang dicadangkan dalam Belanjawan 2025 ke atas pemegang saham individu dengan dividen melebihi RM100,000.