Ikuti Kami:

Kerajaan Tegaskan RUU Tahanan Rumah Demi Keadilan Sosial, Bukan VVIP

Kerajaan Tegaskan RUU Tahanan Rumah Demi Keadilan Sosial, Bukan VVIP

Kerajaan menyangkal dakwaan bahawa Rang Undang-Undang (RUU) tahanan di rumah digubal untuk membebaskan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atau mana-mana individu kenamaan (VVIP).

Menurut jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil, usaha ke arah pembentukan undang-undang ini bermula sejak tahun lalu, dengan hasrat kerajaan untuk beralih daripada pendekatan hukuman prunitif kepada keadilan restoratif.

Fahmi menjelaskan, tujuan utama kerajaan adalah untuk memperkukuh keadilan sosial dengan membolehkan individu yang telah dihukum kembali menyertai masyarakat melalui pemulihan.

“Penjara hanya mampu menampung sekitar 74,000 banduan, tetapi tahun lalu jumlah banduan mencecah 87,000 orang,” katanya.

“Oleh itu, satu projek perintis telah dilaksanakan di mana 5,000 banduan terlibat dalam proses pemulihan dalam komuniti, termasuk dengan syarat kehadiran wajib dan pembebasan awal bagi kes-kes tertentu yang tidak melibatkan jenayah berat seperti pembunuhan.”

Beliau menegaskan, objektif program ini adalah untuk mengurangkan kebarangkalian banduan kembali melakukan jenayah selepas dibebaskan.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan dalam Belanjawan 2025 bahawa kerajaan akan menggubal akta baharu untuk membolehkan hukuman tahanan di rumah bagi kesalahan tertentu.

Pesalah yang dikenakan hukuman tahanan di rumah akan dipantau oleh pegawai penjara dan dihadkan pergerakannya di lokasi tertentu seperti rumah kediaman, rumah jagaan, atau asrama pekerja.

Fahmi turut menyatakan bahawa projek perintis ini menunjukkan hasil positif, dengan kadar residivisme menurun kepada 15 peratus dan penjimatan sebanyak RM19 juta bagi Jabatan Penjara selepas pelaksanaan oleh Kementerian Dalam Negeri.

“Untuk melaksanakan tahanan di rumah secara menyeluruh, akta khusus perlu digubal bagi menggabungkan undang-undang sedia ada dengan konsep keadilan restoratif,” tambahnya.

Fahmi menjelaskan bahawa inisiatif ini tidak berkaitan dengan mana-mana individu tertentu tetapi bertujuan untuk menyesuaikan sistem hukuman mengikut perkembangan semasa serta mengurangkan tekanan kepada sistem sosial negara.

Komen
Loading...