Kerjasama KDN dan Koperasi Polis Perkukuh Pembangunan Infrastruktur Keselamatan
- oleh Gerbang Daily
- 3 minggu lalu

Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengumumkan satu kerjasama strategik bersama koperasi polis dalam pelaksanaan projek-projek utama kementerian itu, dengan matlamat memperkasakan sistem keselamatan negara dan memperluas peranan koperasi dalam pembangunan negara.
Pengumuman yang dibuat oleh Menteri Dalam Negeri bersama Perdana Menteri itu memberi tumpuan kepada peluang baharu buat koperasi polis melaksanakan projek pembangunan yang sebelum ini hanya diserahkan kepada agensi dan syarikat kerajaan seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) dan TBLT.
Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, beberapa projek berkaitan infrastruktur telah dikenal pasti sebagai keutamaan dalam pelaksanaan kerjasama ini.
“Jadi yang berkaitan dengan pembangunan yang menjadi keutamaan kita termasuklah meningkatkan atau menambah bilangan IPK dan IPD. IPK yang lama dan sudah tidak mampu lagi menyokong operasi berkaitan negeri akan diberi perhatian,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa antara IPK yang telah disenaraikan termasuklah IPK Kelantan, Perak dan Pulau Pinang. “IPK Kelantan itu memang baru, tapi kini sudah sampai ke penghujung usianya. Kita juga ada beberapa IPD baharu seperti IPD Ruang Semalu, IPD Kapit dan IPD Padang Besar,” tambah beliau.
Mengulas lanjut mengenai keputusan dasar Perdana Menteri, Saifuddin menjelaskan bahawa koperasi polis hanya akan dipertimbangkan untuk melaksanakan projek jika mereka menunjukkan tahap pengurusan yang baik.
“Pengumuman dasar oleh Perdana Menteri adalah jelas, asal saja operasi menunjukkan prestasi pengurusan yang bagus, kompeten, mengikut amalan tadbir urus yang baik dan dilaksanakan dengan cekap pada harga yang munasabah, maka kita bersedia untuk mempertimbangkan pelaksanaannya oleh koperasi polis,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa peluang ini tidak bermaksud koperasi diberikan laluan terus, sebaliknya semua syarat dan peraturan kewangan tetap perlu dipatuhi.
“Bukan maksudnya kita buka jalan dan terus panggil kepada kita, tidak. Ia tidak boleh mengetepikan semua perasyarat lain. Jadi, koperasi mesti membuat persiapan yang rapi dan menyeluruh,” katanya.
Saifuddin turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas kepercayaan tinggi yang diberikan terhadap koperasi polis. Katanya, Perdana Menteri memahami sejarah dan kekuatan koperasi ini sejak beliau memegang jawatan Menteri Kewangan suatu ketika dahulu.
“Saya ucap terima kasih kepada Perdana Menteri kerana menunjukkan keyakinan yang kuat kepada koperasi. Keyakinan ini lahir kerana beliau tahu sejarah dan kekuatan koperasi polis,” ujar beliau.
Jelasnya lagi, beliau akan berbincang lanjut dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan kepimpinan pasukan polis bagi meneliti senarai projek yang sesuai untuk dimudahkan pelaksanaannya oleh koperasi.
Dengan penyertaan koperasi dalam projek KDN, lebih 100,000 anggota koperasi polis dijangka mendapat manfaat secara langsung, di samping memperkukuh peranan institusi koperasi dalam pembangunan sosioekonomi negara.
Kerjasama ini mencerminkan pendekatan baharu kerajaan dalam memperluas potensi koperasi sebagai pemacu pembangunan negara, sekali gus memberi kesan positif kepada keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia.